Home Nasional Zuraida akan teliti peletakan jawatan Soffian

Zuraida akan teliti peletakan jawatan Soffian

Zuraida Kamaruddin
Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin akan meneliti peletakan jawatan Setiausaha Akhbarnya, Soffian Mohd Shariff.

Zuraida yang kini sedang berada di Istanbul untuk lawatan kerja mengesahkan telah menerima notis peletakan jawatan Soffian menerusi pesanan Whatsapp hari ini.

“Encik Ahmad Soffian merupakan seorang kakitangan yang berdedikasi dan sering memberi komitmen tinggi terhadap tugasan beliau.

“Walau bagaimanapun, secara prinsipnya saya menghormati keputusan yang diambil beliau. Namun memandangkan pada waktu ini saya masih berada di luar negara atas beberapa urusan, perkara ini akan diperhalusi sekembalinya saya ke tanah air,” katanya menerusi kenyataan.

Zuraida tidak mengulas lanjut sebab peletakan jawatan Soffian.

Soffian telah memaklumkan peletakan jawatannya kepada pemberita menerusi Whatsapp Kumpulan KPKT pagi tadi.

Soffian merupakan suami Syazlin Mansor, peguam yang sebelum ini mewakili Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), KPKT dan keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim dalam inkues bagi mencari punca kematian anggota bomba itu.

Dua minggu lalu Syazlin telah membuat kejutan apabila mengumum untuk menarik diri daripada prosiding inkues Adib. -MalaysiaGazette