Home Nasional Derita 32 tahun akibat banjir di Kuala Lumpur

Derita 32 tahun akibat banjir di Kuala Lumpur

Rofizan Awang, 60, yang berasal dari Terengganu menyewa sebuah rumah di Kampung Periuk di sini sejak 1987 bersama suami dan adik iparnya yang bekerja sebagai peniaga.

KUALA LUMPUR – Seorang suri rumah tidak menyangka keputusan untuk berpindah ke ibu kota bagi mendapatkan kehidupan yang lebih baik membawa ‘derita’ selepas terpaksa tinggal di kawasan yang sering mengalami banjir kilat.

Rofizan Awang, 60, yang berasal dari Terengganu menyewa sebuah rumah di Kampung Periuk di sini sejak 1987 bersama suami dan adik iparnya yang bekerja sebagai peniaga.

“Pada awal berlaku banjir kilat. Saya agak terkejut tetapi jiran yang turut menyewa di kawasan ini memaklumkan banjir sering berlaku jika hujan lebat berterusan.

“Pada tahun ini sahaja sudah dua kali banjir berlaku dan hari ini lebih teruk apabila air mencecah sehingga paras pinggang,” katanya ketika ditemui Bernama di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Rofizan berkata perkara itu telah dimaklumkan kepada pemilik rumah dan pihak berkuasa namun tiada tindakan.

Sementara itu, Pegawai Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kuala Lumpur Kpt Shahrul Kamar Mohd Johari berkata banjir sejak 3 petang tadi mula surut kira-kira 7.30 petang.

Menurutnya, seramai 10 keluarga melibatkan 41 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Dewan Sultan Sulaiman untuk sementara waktu.

“Bilangan mangsa bertambah sejak petang tadi iaitu daripada 38 orang kepada 41 orang susulan rumah mereka terjejas teruk akibat banjir.

“Pusat pemindahan ini akan dibuka dalam tempoh dua hari mengikut keadaan semasa dan akan ditutup selepas rumah mangsa sudah pulih,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata kawasan Kampung Periuk sering mengalami banjir susulan keadaannya yang berbentuk kawah sehingga menyebabkan air Sungai Klang melimpah dan memasuki kawasan itu dengan cepat.

— BERNAMA