Home Ekonomi Premium insurans ILP sedia ada tidak dinaikkan

Premium insurans ILP sedia ada tidak dinaikkan

Mark O'Dell, CEO Persatuan Insurans Hayat Malaysia

KUALA LUMPUR – Premium insurans bagi produk berkaitan pelaburan (ILP) sedia ada tidak akan dinaikkan susulan pelaksanaan garis panduan baharu yang diperkenalkan Bank Negara Malaysia bermula 1 Julai ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Mark O’Dell berkata, premium bagi ILP yang dibeli sebelum 1 Julai ini tidak akan terjejas sehingga polisi berkenaan tamat tempoh kontrak.

“Tiada perubahan selepas garis panduan baharu itu dilaksanakan,” katanya kepada Bernama dalam satu temubual baru-baru ini.

Kenyataan itu sekali gus menolak maklumat tidak tepat yang disebarkan ejen-ejen insurans yang mendakwa premium akan dinaikkan susulan pengenalan garis panduan baharu berkenaan.

Bank Negara mengeluarkan Dokumen Polisi Pelaburan Berkaitan Perniagaan Januari tahun ini dengan objektif utama adalah untuk melindungi kepentingan pengguna.

“Bermula 1 Januari 2020, anda akan menerima penyata tahunan yang akan menyatakan tempoh perlindungan berdasarkan premium semasa.

“Sekiranya anda memerlukan perlindungan lebih lama, anda boleh menambah pembayaran premium secara sukarela,” tambahnya.

Menurut O’Dell, pemegang polisi perlu membezakan polisi yang dibeli sebelum 1 Julai dengan polisi baharu yang dibeli selepas tarikh tersebut.

Ini kerana syarikat-syarikat insurans akan memberikan anggaran premium bagi tempoh keseluruhan kontrak seperti yang diarahkan bank pusat.

Pemegang polisi ILP sedia ada dan para pelanggan yang berhasrat untuk membeli polisi sebelum 1 Julai perlu menyemak syarat-syarat kontrak dan memahami tempoh pelindungan berdasarkan premium sedia ada.

“Mereka boleh menghubungi pengendali insurans atau takaful untuk mendapatkan penjelasan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette