Home Nasional Tiada keperluan pinda Akta SPRM

Tiada keperluan pinda Akta SPRM

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof bercakap kepada media di Bilik Taklimat Bangunan Utama Parlimen, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 11 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Tiada keperluan untuk membuat pindaan terhadap Seksyen 5(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 demi menambah baik prosedur pelantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada masa akan datang.

Jelas Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof pelantikan Latheefa Koya menerajui agensi itu baru-baru sama sekali tidak melangkau perundangan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming itu baru-baru ini.

“Cadangan Nga Kor Ming kalau kita mahukan PAC diberi kuasa untuk melantik kita harus pinda Akta SPRM.

“Setakat ini kuasa melantik Agong atas nasihat Perdana Menteri. Pelantikan Latheefa Koya memang mematuhi undang-undang, tiada isu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Parlimen hari ini.

Dalam masa yang sama beliau menolak sebarang pandangan bahawa Jawatankuasa Kira-Kira Negara (PAC) perlu diberikan kuasa melantik wakil salah sebuah agensi kerajaan itu.

“Tidak timbul PAC perlu diberi kuasa untuk melantik tidak ada dalam terma rujukan jawatankuasa (PAC). PAC hanya untuk mengawal selia sahaja,” tambahnya.

Terdahulu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengaku membuat keputusan pelantikan Ketua Pesuruhjaya  SPRM itu tanpa berbincang dengan jemaah menteri menegaskan ia muktamad dan tidak akan diubah. – MalaysiaGazette