Home Nasional Tutup dulu yayasan negeri lain sebelum desak tutup YWP – Khalid

Tutup dulu yayasan negeri lain sebelum desak tutup YWP – Khalid

Khalid Samad. foto FAREEZ FADZIL, 11 JUN 2019
Khalid Samad. foto FAREEZ FADZIL, 11 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan tidak berhasrat untuk menutup Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) yang menjadi platform untuk membuat program kebajikan lebih 20 tahun lalu.

Sebaliknya Menterinya, Khalid Abdul Samad melahirkan rasa hairan mengapa yayasan itu menjadi sasaran untuk ditutup dan bukannya yayasan milik negeri yang lain.

Tegas beliau, YWP bukan tempat untuk mencapai kepentingan politik dan peribadi sebaliknya beroperasi secara transparen dan mengikut undang-undang.

“Kementerian Wilayah Persekutuan ini tidak kerajaan negeri, perbadanan kemajuan negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri.

“Kalau tutup YWP ini, apa lagi yang penduduk di sini akan dapat kerana ia satu-satunya platform untuk membuat program kebajikan di Wilayah Persekutuan.

“Bagi saya tutup dahulu yayasan milik negeri yang lain sebelum desak tutup YWP,” katanya di Wisma YWP di sini hari ini.

MGF11062019_PC+MENTERI+WILAYAH_11
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad ketika hadir pada sidang media mengenai peranan Yayasan Wilayah Persekutuan di Wisma Yayasan Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 11 JUN 2019

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khas yang pertama sebagai Pengerusi YWP bagi menjawab desak pelbagai pihak termasuk beberapa Ahli Parlimen di Wilayah Persekutuan yang mencadangkan yayasan itu ditutup bagi mengelak konflik kepentingan.

Khalid menjelaskan jawatan pengerusi di yayasan negeri kebiasaan dipegang oleh menteri besar atau ketua menteri kerana mereka memiliki kerajaan negeri.

Malah katanya, yayasan negeri milik Pulau Pinang yang baru ditubuhkan pada 2015 iaitu Penang Future Foundation 2015 turut dipengerusikan oleh Ketua Menteri.

“Jadi penubuhan YWP ini seolah-olah kita buat benda jahat, sedang kita melaksanakan pelbagai program kebajikan.

“Dulu mungkin ada salah guna tetapi kita sudah perbetulkan dan kini kita menjadi terbuka untuk mendedahkan sama ada tentang pebelanjaan program dan kewangan yayasan,” katanya.

YWP telah ditubuhkan pada 9 April 1986 di bawah Akta Syarikat 1957 sebagai sebuah syarikat berhad dengan jaminan.

Yayasan itu memulakan operasi pada tahun 1996 dan seperti mana klausa yang terkandung di dalam Memorandum and Articles of Association (M&A) YWP.

Klausa itu antara lain menyebut mana-mana ahli-ahli Dewan Rakyat yang dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan atau memegang mana-mana portfolio yang bertanggungjawab dalam hal ehwal kemajuan dan pembangunan Wilayah Persekutuan secara dasarnya akan dilantik menjadi Pengerusi YWP.

Tidak seperti Yayasan-yayasan negeri lain yang memperolehi geran dan suntikan dana
daripada pihak kerajaan, syarikat tanpa pemilikan modal seperti YWP bergerak di atas daya usaha dan inisiatif sendiri melalui penglibatan di dalam sektor pelaburan, perniagaan dan hartanah.

Manfaat dan hasil daripada sektor-sektor terbabitlah membolehkan YWP melaksanakan pelbagai program pembangunan Pendidikan, Kebajikan, Sosial dan kesejahteraan Komuniti di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. – MalaysiaGazette