KUALA LUMPUR – Polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman akan menghantar sepasukan pegawainya untuk menyiasat kes tangkapan enam rakyat Malaysia yang dicekup kerana disyaki menyeludup dadah jenis syabu seberat 37 kilogram di Indonesia.
Keenam-enam suspek yang berasal dari Johor itu ditangkap oleh polis Indonesia pada 4 Jun lalu di utara Jakarta.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Deputi Komisioner Zulkifli Ali berkata, bagaimanapun PDRM tidak memperolehi maklumat lanjut berkenaan tangkapan itu.
“Kami tak sedia maklum mengenai tangkapan sindiket itu dan pihak berkuasa Indonesia hanya memaklumkan kami setelah tangkapan dibuat ke atas enam suspek dari negara ini.
“Dalam masa terdekat ini kita akan hantar pegawai polis untuk temubual mereka yang ditahan di sana,” katanya dalam sidang media khas kejayaan Narkotik Bukit Aman dan IPD Cheras di sini.
Tambah beliau, keenam-enam suspek warga Malaysia disyaki menyeludup syabu menggunakan kapal mewah ke Indonesia sebelum berjaya ditahan pihak berkuasa kerajaan itu.
Katanya, berdasarkan butiran awal, semua suspek ditahan di lokasi berlainan termasuk di atas kapal belayar dengan barang kes.
Namun barang kes sudah terlepas di pasaran menerusi suspek lain.
“Bagaimanapun, kami sedia maklum dadah yang keluar berjaya dikesan polis Indonesia dan menumpaskannya.
“Setakat ini saya tidak boleh mengesahkan apa-apa maklumat di sini sehingga kami prgi ke sana dan mengetahui situasi di sana,” tegasnya. -MalaysiaGazette