KUALA LUMPUR – PKR menolak sekeras-kerasnya permainan politik kotor yang tidak memberi sebarang keuntungan kepada kerajaan Pakatan Harapan yang sedang menerajui tampuk pemerintahan negara sekarang ini.
Setiausaha Agung parti itu Datuk Saifuddin Nasution Ismail sehubungan dengan itu menggesa semua pihak supaya segera menghentikan penularan video intim yang dikatakan melibatkan seorang lelaki mirip menteri Kabinet.
“KEADILAN tegas dan konsisten menolak sebarang bentuk permainan politik kotor terutamanya apabila kerajaan baharu Pakatan Harapan telah dipilih oleh rakyat atas semangat agenda reformasi untuk membantu rakyat dan membangunkan negara.
“KEADILAN menggesa agar penyebaran video yang sedang ditularkan dan diperkatakan oleh umum dihentikan serta-merta.
“Gaya dan cara berpolitik seperti ini tidak membawa sebarang keuntungan kepada masyarakat dan negara,” katanya menerusi kenyataan.
Semalam tular video serta gambar yang memaparkan hubungan intim mirip seorang menteri Kabinet yang juga pemimpin PKR dalam kumpulan Whatsapp kepada beberapa wartawan dan anggota parti politik.
Terbaharu, awal pagi tadi salah seorang individu yang dikaitkan dalam video itu membuat pengakuan bersumpah beliaulah orang yang terlibat dalam perbuatan sumbang itu.
Individu berkenaa, Haziq Abdullah Abdul Aziz merupakan setiausaha sulit kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.-MalaysiaGazette
Artikel berkaitan:
Gambar dan video intim lelaki mirip seorang menteri tersebar