KUALA LUMPUR – Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, yang genap 10 bulan hari ini, yang turut menghadapi masalah sumbing lelangit (cleft palate) akan menjalani pembedahan membetulkan sumbing lelangit (cleft palate) di sebuah hospital di London, United Kingdom.
Ayahnya Ahmad Safiuddin Ahmad Razak dalam Facebooknya menyatakan anaknya memiliki sumbing lelangit sejak dilahirkan.
“Pembedahan untuk cleft palate ini, mungkin akan dibuat selepas Ainul dapat berat badan yang sesuai (6kg-8kg),” katanya sewaktu menjawab soalan dikemukakan netizen di laman sosial media itu hari ini.
Pada 10 Jun lepas, Ainul Mardhiah yang menghidap kanser ‘Germ Cell Tumour’ selamat dibedah di The Imperial College Healthcare NHS, London oleh sekumpulan doktor pakar pelbagai bidang bersama pelatih pakar bedah Malaysia, Dr Nur Amalina Che Bakri, yang bertanggungjawab membawa bayi itu serta ibu bapanya ke London bagi mendapatkan rawatan.
Ahmad Safiuddin yang tiba di Kota London pada 25 Mei lepas berkata dia tidak pasti berapa lama puterinya itu akan berada di London berikutan doktor di sana masih mahu memantau keadaan anak tunggalnya itu.
“Jika mereka yakin yang Ainul bebas dari sebarang perkara yang tidak diingini (berulang), mungkin Ainul boleh balik ke tanah air,” katanya.
Beliau berkata selepas pembedahan, bayinya dijangka akan melalui fasa belajar makan guna mulut.
Beliau berkata Ainul Mardhiah, yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak hospital itu dijangka akan dipindahkan ke wad biasa esok, jika keadaan kesihatannya semakin baik.
Ainul Mardhiah akan dibawa pulang setelah hospital itu sendiri memutuskan masanya, katanya.
“Biarkan mereka buat kerja mereka, biar mereka putuskan bilakah masa sesuai Ainul keluar dari hospital. Untuk masa terdekat ini, Ainul perlu dijaga dengan rapi, banyak perkara perlu diteliti selepas buat pembedahan,” katanya.
Beliau berkata jururawat yang menjaga Ainul Mardhiah telah menyatakan bahawa ‘Hari ini saya nampak dia senyum. Kuatnya dia!’.“Doakan Ainul Mardhiah ya. Saya yakin, jika Ainul Mardhiah boleh bercakap sekarang, mungkin dia akan ucap terima kasih kepada kalian semua. Buat masa ini, ucapan terima kasih itu ditunjukkan melalui kesihatan dan kekuatannya,” katanya.- BERNAMA