KUALA LUMPUR – PKR sepatutnya memanggil Haziq Abdullah Abdul Aziz dan menyiasat pengakuan yang dibuatnya mengenai video intim bersama-sama pemimpin parti itu.
Kata bekas pengasas parti itu, Ng Lum Yong, ini kerana kedua-dua individu yang didakwa terlibat dalam video tersebut merupakan ahli dan memegang jawatan penting dalam PKR.
Jelasnya, bukan hanya polis yang perlu menyiasat perkara ini malah PKR juga perlu mengambil langkah awal demi mengesan punca kejadian baru-baru ini.
“Sekarang parti perlu panggil dia datang soal kenapa buat demikian. Kena panggil Haziq kerana dia ahli PKR. Jawatannya dalam parti bukannya kecil.
“Kenapa tidak panggil dia, soal dia, kenapa buat demikian kerana dia sendiri sudah bersumpah pengakuan. PKR kena siasat kenapa sehingga hari ini tiada tindakan,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Semalam Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan dakwaan beliau merupakan individu yang bersama-sama Haziq dalam video intim yang tersebar luas baru-baru ini.
Haziq yang mderupakan Ketua Pemuda PKR Santubong sekali lagi muncul lagi hari ini membuat dakwaan barunya.
Mengulas lanjut, ujar Lum Yong, PKR tidak wajar menuding jari kepada parti pembangkang sebagai dalang kejadian penyebaran video menerusi kumpulan Whatsapp oleh individu tidak dikenali.
Sebaliknya tegas beliau, PKR perlu memulakan pemantauan daripada dalam parti itu.
“Saya hairan kerana ramai pemimpin hanya keluarkan kenyataan ini kerja daripada luar (pembangkang). Kenapa nak tudingkan jari kepada orang lain. Sebagai parti pembangkang, mereka tiada kuasa,” ujarnya.
Naib Presiden parti itu Zuraida Kamaruddin ketika memberikan responnya kepada penularan video tersebut menganggap ianya merupakan konspirasi demi membunuh karier politik Azmin selaku pemimpin kanan PKR.
Beliau dalam masa yang sama berkata, Haziq mempunyai hubungan baik dengan parti pembangkang dan ia diragui.
Terbaharu, Haziq digantung tugasnya sebagai Setiausaha Sulit kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama berkuatkuasa serta merta. – MalaysiaGazette
Sepatutnya pkr siasat bukan menuding jari kepada pembangkang. Sebab hanya org tertentu sahaja tahu penginapan menteri ketika lawatan.