Home Dunia Turki telah beli sistem S-400 – Erdogan

Turki telah beli sistem S-400 – Erdogan

S-400
Sistem peluru berpandu darat ke udara, S-400.

ISTANBUL – Turki telah membeli sistem pertahanan udara S-400 buatan Rusia dan ia akan dihantar pada bulan depan, kata Presiden Recep Tayyip Erdogan.

“Saya tidak berkata Turki akan membeli S-400, ia telah dibeli, Kami telah memuktamadkan urusniaga,” kata Erdogan pada mesyuarat Parti AK.

Presiden itu berkata, perjanjian pembelian S-400 dengan Moscow
adalah menarik bukan sahaja kerana harganya tetapi juga pemindahan teknologi dan kemungkinan menghasilkannya secara bersama.

Menyentuh tentang rancangan Amerika Syarikat (AS) untuk menamatkan pembabitan Ankara dalam program pesawat F-35 berikutan pembelian itu, Erdogan berkata, Turki bukan hanya pelanggan tetapi juga rakan pengeluaran yang telah melabur sebanyak AS$1 bilion dalam projek tersebut.

“Kami akan berjumpa Presiden Trump di Jepun pada akhir bulan ini, yang mana kami telah mengadakan rancangan untuk bertemu. Saya harap terdapat perbincangan yang matang berhubung isu ini,” tambah beliau.

Pada minggu lalu, Pentagon memberitahu Turki bahawa ia telah memotong nama Ankara untuk membeli pesawat pejuang F-35 jika negara itu meneruskan rancangan pembelian sistem pertahanan buatan Rusia. – Agensi