Home Nasional Penuntut Al-Azhar meninggal dunia

Penuntut Al-Azhar meninggal dunia

Gambar hiasan

KUALA TERENGGANU – Pelajar Universiti Al-Azhar, Mesir dari Terengganu yang kritikal akibat pendarahan dalam kepala meninggal dunia pada pukul 2 petang semalam (8 malam waktu Malaysia).

Mohammad Fahmi Faizzudin Asyraf Mohd Shukri yang merupakan pelajar Tahun 3 jurusan Syariah Islamiah di universiti itu menghembus nafas terakhir di Hospital Safarat, Hayyu Sabi’e, Kaherah, Mesir.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Maliaman Kassim ketika dihubungi Bernama berkata, jenazah pelajar berusia 24 tahun itu selamat dikebumikan sebelum Maghrib waktu Mesir semalam.

“Mengikut perancangan asal, saya akan menemani ibu bapa Mohd Fahmi untuk menziarahinya di Mesir pada pagi esok memandangkan hanya itu sahaja tiket paling awal yang wujud.

“Namun, Allah lebih menyayanginya dan hajat ibu bapanya untuk bertemu kali terakhir tidak kesampaian. Saya mewakili kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan sama-sama kita berdoa agar rohnya ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.

Terdahulu, kisah Mohammad Fahmi Faizzudin Asyraf dimasukkan ke hospital itu tular di media sosial sejak malam Rabu lalu apabila sebuah badan bukan kerajaan (NGO) melancarkan tabung derma kilat berikutan keluarganya memerlukan lebih RM40,000 untuk membiayai kos pembedahannya.

Allahyarham dikejarkan ke Hospital Safarat pukul 2.07 pagi Rabu lalu (8.07 pagi waktu Malaysia) selepas tidak sedarkan diri dan terpaksa menjalani pembedahan berikutan mengalami pendarahan dalam otak.

Susulan itu, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan kecemasan sebanyak RM10,000 untuk ibu bapanya iaitu Mohd Shukri Husin, 54, dan Norhayati Jusoh, 51, ke Mesir bagi melawat anak sulung mereka sebelum menerima berita sedih itu.

Maliaman yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Ajil berkata ibu bapa Allahyarham akan tetap berangkat ke Mesir pagi esok untuk menziarahi kubur Allahyarham dan beliau sendiri akan mengiringi mereka sepanjang berada di Mesir.

“Ibunya ada bercerita kali terakhir Allahyarham pulang pada Aidilfitri tahun lepas. Mereka sekeluarga selalu berhubung melalui aplikasi Whatsapp di mana kali terakhir Allahyarham ada mengadu sakit kepala.

“Ibu bapanya reda dengan pemergian Allahyarham kerana beliau adalah seorang anak yang mempunyai perwatakan sangat baik, tambahan pula dalam keadaan beliau sedang menuntut di Mesir seperti mana yang diimpikannya selama ini,” katanya. – MalaysiaGazette