Home Nasional Polis nafi dakwaan ceroboh kediaman keluarga Haziq

Polis nafi dakwaan ceroboh kediaman keluarga Haziq

Polis menafikan dakwaan mengenai insiden menceroboh rumah kediaman keluarga Haziq Abdullah Abdul Aziz, yang mengaku terbabit dalam aksi intim bersama seorang menteri dalam video lucah, di Petra Jaya, petang semalam.

KUCHING – Polis menafikan dakwaan mengenai insiden menceroboh rumah kediaman keluarga Haziq Abdullah Abdul Aziz, yang mengaku terbabit dalam aksi intim bersama seorang menteri dalam video lucah, di Petra Jaya, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Awang Din Awang Gani berkata, pemeriksaan yang dijalankan di rumah berkenaan adalah mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Beliau berkata pihaknya menerima arahan daripada Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman untuk mengesan Haziq bagi merakamkan percakapanya dan keluarga bagi membantu siasatan susulan laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, Selangor.

Beliau berkata siasatan terhadap Haziq dibuat mengikut Seksyen 502 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Sepasukan anggota IPD Kuching terdiri daripada dua pegawai kanan dan tiga anggota berpangkat rendah pergi ke rumah Abdul Aziz Ibrahim pada jam 5.20 petang semalam.

“Setibanya di kediaman tersebut, polis mendapati kediaman itu berpenghuni kerana terdapat kenderaan diletakkan di luar rumah.

“Polis memanggil penghuni di dalam rumah tersebut beberapa minit untuk membuka pintu pagar namun tidak mendapat jawapan. Oleh itu, pihak polis mengambil keputusan masuk melalui pintu pagar yang tidak berkunci,” katanya, dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Awang Din berkata setelah tiba di depan pintu kediaman itu, polis memanggil penghuni rumah sekali lagi sehinggalah tuan rumah muncul dan membuka pintu.

“Polis kemudian memperkenalkan diri dan menunjukkan kad kuasa serta memaklumkan tujuan kehadiran pihaknya ke kediaman tersebut.

“Kesemua pegawai polis kemudian dijemput masuk oleh Abdul Aziz, isteri dan kakak ipar Haziq, malah memberikan kerjasama yang baik termasuk membenarkan polis memeriksa rumah untuk mengesan suspek,” katanya.

Polis turut merakam percakapan Abdul Aziz mengikut Seksyen 211 Kanun Prosedur Jenayah dan laporan polis dibuat selepas pemeriksaan selesai, katanya.

Selain itu, Awang Din juga mengesahkan telah menerima laporan Abdul Aziz mengenai dakwaan pencerobohan rumahnya itu oleh sepasukan polis Bukit Aman.

Haziq, yang merupakan Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Industri Utama, kini telah digantung kerja setelah membuat pengakuan terbuka di Facebook mengenai video lucah tersebut yang tular sejak Selasa lalu.

Beliau, yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, membuat pengakuan bahawa dia adalah lelaki dalam aksi seks itu bersama seorang yang didakwa Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Mohamed Azmin kemudiannya menafikan sekeras-kerasnya penglibatannya dalam video itu dan menyifatkan sebagai satu tuduhan jahat serta kejam.

Timbalan Presiden PKR itu juga menegaskan siri fitnah itu adalah komplot jahat untuk mencemarkan reputasi dan keperibadian serta menjatuhkan dan memusnahkan karier politiknya.

Haziq ditahan polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang tadi.

— BERNAMA

Artikel berkaitan

Rumah keluarga Haziq diceroboh “polis Bukit Aman”