KUALA LUMPUR– Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan produk AMB jenama Starfresh hanya dipasarkan ke Singapura dan tidak dijual di pasaran tempatan.
Bagaimanapun, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung punca pencemaran sepertimana yang dilaporkan sebelum tindakan lanjut diambil.
Setakat ini, hasil verifikasi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan KKM mendapati kilang yang menghasilkan produk tersebut melaksanakan program jaminan keselamatan makanan dan mematuhi keperluan pelesenan punca air minuman yang ditetapkan oleh kementerian.
“KKM ingin menegaskan produk AMB untuk jualan perlu mematuhi Peraturan 360B, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983.
“Di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983 telah menetapkan bahawa mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, KKM juga katanya mengambil maklum mengenai isu penarikan balik produk air minuman berbungkus (AMB) jenama Starfresh keluaran Malaysia dari pasaran Singapura sebagaimana yang dilaporkan di laman sesawang Singapore Food Agency (SFA) bertarikh 12 Jun 2019.
Laporan tersebut menyatakan pihak SFA telah mengarahkan produk AMB tersebut ditarik balik kerana dikesan tercemar dengan bakteria Pseudomonas aeruginosa.
Produk AMB yang terlibat berisipadu 1500ml dan 500ml dengan tarikh akhir masing-masing pada 13 Mei 2021 dan 11 Mei 2021.
Menurut Dr. Noor Hisham, bakteria Pseudomonas aeruginosa adalah sejenis bakteria yang terdapat secara meluas di persekitaran dan boleh ditemui di dalam air, najis, sisa kumbahan dan tanah.
Bakteria itu boleh menyebabkan pelbagai jenis jangkitan penyakit kepada manusia khususnya kepada golongan yang mempunyai sistem ketahanan badan yang rendah.
Namun, produk makanan yang dicemari bakteria ini jarang memberikan kesan kesihatan kepada individu yang sihat.
Hasil verifikasi oleh KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan mendapati kilang yang menghasilkan produk tersebut melaksanakan program jaminan keselamatan makanan dan mematuhi keperluan pelesenan punca air minuman yang ditetapkan oleh KKM.- MalaysiaGazette