WASHINGTON – Presiden Donald Trump pada Jumaat menuduh Iran sebagai dalang di sebalik serangan ke atas dua kapal tangki minyak di Teluk Oman,lapor agensi berita Xinhua.
Dua kapal tangki minyak terbabit diserang di Teluk Oman pada Khamis pagi, satu daripadanya dikendalikan sebuah syarikat Jepun.
“Iran yang melakukannya dan anda tahu itu,” kata Trump dalam temu bual dengan Fox News, merujuk kepada video dikeluarkan Komando Pusat Amerika Syarikat (USCENTCOM).
Video itu dikeluarkan pada lewat Khamis, menunjukkan Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mengalihkan periuk api yang tidak meletup dari satu tangki (Kokuka Courageous) sejurus selepas serangan.
Jurucakap USCENTCOM, Bill Urban dalam satu kenyataan berkata, AS tidak mempunyai kepentingan dalam konflik terkini di Timur Tengah itu.Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Mike Pompeo berkata pada Khamis, Iran bertanggungjawab atas serangan itu, namun dinafikan Tehran.
Menteri Luar Iran Mohammad Javad Zarif di Twitternya menulis, tuduhan AS terhadap Iran adalah taktik sabotaj terhadap diplomasi, bagi menutup tindakan negara itu yang mengenakan sekatan ekonomi terhadap Iran.
Serangan itu berlaku di tengah-tengah lawatan Perdana Menteri Shinzo Abe ke Iran, lawatan pertama oleh perdana menteri Jepun sejak Takeo Fukuda pada 1978.
Lawatan berkenaan bertujuan mengurangkan ketegangan antara Washington dan Tehran.Sementara itu, pemimpin tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei memberitahu Abe, sebarang perbincangan dengan Trump adalah sia-sia, memetik media Iran.
“Walaupun saya hargai PM Abe ke Iran berjumpa Ayatollah Ali Khamenei, secara peribadi saya merasakan terlalu cepat untuk membuat sebarang perjanjian, mereka tidak bersedia, dan kami juga tidak!” tulis Trump dalam Twitternya.- BERNAMA