Home Nasional Haziq dalam keadaan baik, minta tidak diganggu

Haziq dalam keadaan baik, minta tidak diganggu

Bekas Setiausaha Sulit Timbalan Menteri Perusahaan Utama, Haziq Abdul Aziz.

KUALA LUMPUR-Haziq Abdullah Abdul Aziz tidak mahu bertemu sesiapa buat masa ini dan meminta semua pihak untuk tidak menganggu privasi beliau.

Peguamnya, Sivahnanthan Ragava berkata, itu arahan jelas diberikan Haziq kepada peguam-peguam yang mewakilinya sejurus dibebaskan dengan jaminan polis petang tadi.

“Haziq berada dalam keadaan baik.

“Dari luaran beliau kelihatan biasa sahaja tetapi saya tidak mahu mendedahkan maklumat lebih lanjut kerana ianya bersifat peribadi dan Haziq telah memberi arahan yang jelas kepada kami supaya privasinya tidak diganggu oleh orang luar,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Sivahnanthan juga enggan mengulas mengenai proses pemeriksaan kesihatan yang telah dijalankan ke atas Haziq di Hospital Kuala Lumpur awal hari ini dan ke mana Ketua AMK Santubong itu dibawa selepas ditahan polis di klia2 malam tadi atas faktor kerahsiaan pelanggan.

Mengulas mengenai langkah selanjutnya, peguam dari firma Goik Ramesh & Loo itu berkata, pihaknya kini hanya menantikan tindakan lanjut daripada Polis Diraja Malaysia sahaja.

Menyentuh mengenai proses yang berjalan selepas penahanan Haziq malam tadi, Sivahnanthan berterima kasih kepada pegawai penyiasat yang bertugas pada hari ini, ASP Khairul yang banyak memberikan maklumat mengenai Haziq.

Semalam katanya, ahli keluarga dan peguam Haziq tidak dimaklumkan mengenai lokasi lelaki berkenaan.

“Selepas ditahan, pihak polis sepatutnya memaklumkan perkara tersebut kepada anggota keluarga Haziq dan peguamnya supaya kami boleh memberi nasihat yang sewajarnya.

“Jika keberadaan beliau pun tidak diketahui, bagaimana peguam-peguamnya hendak menjalankan tugas?

“Bagaimanapun, perkara itu berubah pada hari ini kerana ASP Khairul banyak membantu menyalurkan maklumat-maklumat yang diperlukan,” tambahnya lagi.

Haziq, 27, dibawa keluar dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Dang Wangi menaiki kereta Proton Persona pukul 5.48 tadi.

Semalam, ketika tangkapan dibuat, Haziq berada di terminal pelepasan antarabangsa dan berdasarkan tiket penerbangan dan dijadualkan berlepas ke Manila.

Siasatan dijalankan mengikut peruntukan beberapa seksyen termasuk Seksyen 292 Kanun Keseksaan, Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 377B Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.

Beliau sebelum itu mengaku salah seorang daripada dua individu dalam video intim yang tersebar awal minggu lalu.

Haziq Abdullah juga menuduh seorang lagi individu dalam video berkenaan adalah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.- MalaysiaGazette