Home Politik Tuduhan UMNO sebar video lucah mengarut – Najib

Tuduhan UMNO sebar video lucah mengarut – Najib

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut hadir pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan di Telapak Ibunda, Rantau, Negeri Sembilan. foto NOOREEZA HASHIM, 15 JUN 2019.

RANTAU – UMNO tidak campur tangan dalam isu melibatkan moral pemimpin Pakatan Harapan (PH), kata Datuk Seri Najib Razak.

Bekas perdana menteri itu berkata, tuduhan bahawa UMNO adalah dalang dalam penyebaran empat video lucah mirip menteri kabinet PH adalah tuduhan yang mengarut.

“Ini soal dalam PH dan PKR, parti UMNO ambil sikap tidak terlibat sama sekali kerana ini urusan dalaman.

“Mengarutlah tuduhan kepada UMNO. Ini bukan kerja UMNO,” katanya kepada media selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, hari ini.

Dalam pada itu, Najib mendakwa PKR tahu apa sebenarnya yang berlegar dalam isu video lucah berkenaan.

“Mereka tahu apa sebenarnya dan yang penting sekali adalah soal kebenaran, soal moral dan attitude,” katanya lagi.

Ini kali pertama Najib mengulas mengenai penularan video lucah melihatkan seorang lelaki bernama Haziq Abdullah Abdul Aziz dan lelaki mirip Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. -MalaysiaGazette