Home Nasional Lelaki Afrika patah kaki semasa lari dari polis

Lelaki Afrika patah kaki semasa lari dari polis

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Afrika patah kaki kiri akibat terjun dari tingkat tiga sebuah pangsapuri ketika cuba melarikan diri daripada ditahan polis di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, lelaki berusia 30-an itu ditahan kerana disyaki terbabit dalam kejadian samun berkumpulan ke atas seorang wanita di tepi jalan di Taman Cheras Mewah, Batu 9, Cheras di Kajang, petang semalam.

Menurutnya, polis menerima laporan mangsa yang mendakwa disamun empat lelaki warga Afrika kira-kira 4.30 petang yang melarikan telefon bimbit dan beberapa dokumen mangsa.

“Susulan daripada laporan mangsa, kita bertindak menyerbu sebuah unit pangsapuri berkenaan namun setelah suspek menyedari kehadiran polis, mereka bertindak melarikan diri dengan cara terjun dari tingkat tiga pangsapuri berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

“Bagaimanapun, dua daripada mereka berjaya ditangkap yang mana seorang daripadanya patah kaki dan kini dirawat di wad kecemasan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), dekat Cheras,” katanya.

Ahmad Dzaffir berkata, polis masih mengesan dua lagi suspek yang terbabit dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Sarjan Broline Benson di talian 019-6938032. – MalaysiaGazette