KARUIZAWA – Menteri Tenaga Arab Saudi, Khalid al-Falih berkata, OPEC akan mengadakan pertemuan pada minggu pertama bulan Julai di Vienna dan berharap dapat mencapai konsensus untuk melanjutkan perjanjian pengurangan bekalan minyak.
Pada awal bulan lalu, Falih berkata, OPEC semakin hampir untuk melanjutkan perjanjian pengurangan minyak namun masih perlu berbincang dengan negara-negara bukan OPEC.
OPEC dan negara-negara sekutunya yang dikenali sebagai OPEC+ telah mencapai persetujuan untuk mengurangkan bekalan sebanyak 1.2 juta tong sehari mulai 1 Januari lalu.
Perjanjian itu sepatutnya berakhir pada bulan ini.
“Kami berharap dapat mencapai konsensus untuk melanjutkan perjanjian apabila bertemu di Vienna dua minggu lagi,” katanya semasa ditemui di mesyuarat Menteri Tenaga dan Alam Sekitar G20 di sini.
OPEC sepatutnya mengadakan pertemuan pada 25 Jun ini tetapi Rusia mencadangkan tarikh ditukar kepada 3 atau 4 Julai.
Falih berkata, permintaan minyak selalunya meningkat pada separuh kedua, dengan loji-loji penapisan beroperasi semula selepas penyelenggaraan dan lonjakan permintaan bermusim, dengan ini perjanjian baharu itu akan membantu menyeimbangkan semula pasaran.
“Saya sangat yakin fundamental kini berada pada arah yang betul,” katanya. – MalaysiaGazette