Home Utama Peniaga pasar borong didakwa dera dua anak angkat

Peniaga pasar borong didakwa dera dua anak angkat

PETALING JAYA – Seorang peniaga pasar borong Selangor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua pertuduhan mendera dua anak angkatnya, berusia tujuh dan lapan tahun, Mei lepas.

Muhammad Rajah Abdullah, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah, selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Hilmiah Yusof.

Tertuduh didakwa melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun menyebabkan mangsa mengalami kecederaan pada muka, tangan, pinggang dan kaki.

Lelaki itu juga dituduh melakukan kesalahan sama pada kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun sehingga mangsa cedera pada kedua-dua tangannya.

Kedua-kedua kesalahan itu didakwa dilakukan di kediaman tertuduh di Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan dekat sini, pada 6 petang pada 30 Mei lepas.

Muhammad Rajah didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mary Phoon Keat Mee tidak menawarkan ikat jamin terhadap tertuduh, namun, katanya jika mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin beliau memohon dikenakan jumlah yang tinggi.

Peguam Harpal Singh yang mewakili Muhammad Rajah memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin dengan nilai paling minimum, atas alasan tertuduh telah memberi kerjasama kepada pihak polis di mana dia sendiri menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, apabila mengetahui polis mencarinya.

Hilmiah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM13,000 beserta seorang penjamin selain memerintahkan lelaki itu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta menetapkan 18 Julai untuk sebutan semula kes.

Tertuduh membayar jaminan itu.

— BERNAMA