Home Nasional Belum terima laporan kes culik 10 nelayan – ESSCom

Belum terima laporan kes culik 10 nelayan – ESSCom

Hazani Ghazali

LAHAD DATU –  Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) belum menerima laporan berhubung dakwaan kes penculikan membabitkan 10 nelayan warga Filipina di perairan Sabah berhampiran Kepulauan Tawi-Tawi, Selatan Filipina, awal pagi ini.

Komander ESSCom, Datuk DCP Hazani Ghazali berkata demikian ketika diminta mengulas satu laporan akhbar nasional berhubung kejadian yang dikatakan berlaku pada 2 pagi tadi.

“Setakat ini kita belum terima apa-apa laporan, dan kejadian tidak pasti sama ada berlaku di perairan Malaysia atau Filipina,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Berdasarkan laporan akhbar berbahasa Inggeris itu, kumpulan bersenjata berkaitan Abu Sayyaf yang menaiki dua bot itu menculik 10 nelayan dari dua bot di perairan Tambisan, Lahad Datu yang menuju ke Semporna.

Penjenayah dan mangsa dipercayai dilarikan ke Pulau Sitangkai di Selatan Filipina iaitu kira-kira 15 minit perjalanan dari perairan Tambisan, Lahad Datu. – MalaysiaGazette