Home Nasional Cuepacs sambut baik semakan gaji polis, ATM

Cuepacs sambut baik semakan gaji polis, ATM

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda bersalaman dengan sebahagian tetamu yang hadir pada sidang media Cuepacs dan esatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (Anulae) dan Jamuan Hari Raya Aidilfitri Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (ANULAE) di Wisma ANULAE, Kampung Bharu, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAIZI, 18 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyambut baik cadangan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador supaya gaji anggota polis berpangkat rendah dinaikkan.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, kenaikan gaji itu penting bagi mengelakkan anggota polis terlibat atau dibayangi elemen rasuah berikutan pendapatan bulan mereka yang kecil, sedangkan tanggungannya agak besar.

Selain semakan gaji anggota polis, katanya, kerajaan juga wajar melihat semula tangga gaji anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) agar pendapatan kedua-dua pasukan keselamatan itu sama taraf dengan negara maju seperti Singapura dan Australia.

“Kita dapati anggota polis bekerja antara 200 hingga 300 jam sebulan. Ia tempoh kerja paling lama dan dengan gaji yang rendah, ia memungkinkan anggota pasukan keselamatan ini dibayangi elemen rasuah.

“Kita harap cadangan Ketua Polis Negara yang baharu ini diterima baik oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH), sekali gus menjamin maruah negara ini dalam keadaan baik dan terbela,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Wisma Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (Anulae) dan jamuan Hari Raya Aidilfitri di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Abdul Hamid dilaporkan berkata, cadangan itu dibuat agar gaji, logistik dan keperluan anggota polis berpangkat rendah diberi keutamaan dalam usaha meningkatkan integriti pasukan itu.

Kata beliau, gaji yang diperoleh golongan berkenaan iaitu daripada sarjan ke bawah adalah rendah dan tidak mampu menampung kos sara hidup terutama bagi mereka bertugas di bandar besar.

Sementara itu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir ketika diminta mengulas cadangan itu berkata, kerajaan akan mempertimbangkannya dan memikirkan mengenai perkara itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Azih yang juga Presiden Anulae berkata, turut meminta kerajaan PH menerusi Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan menyediakan lebih banyak perumahan untkuk penjawat awam.

Ujar beliau, penjawat awam yang bergaji rendah tidak mampu bersaing dengan masyarakat yang berkemampuan di luar sana untuk memiliki rumah sendiri kerana pendapatan yang kecil.

“Kalau kerajaan tidak membina lebih banyak rumah ini, ia tentunya akan mengecewakan penjawat awam yang mempunyai hasrat untuk memiliki kediaman sendiri.

“Ini sudah tentu akan menjejaskan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette