SHAH ALAM – Projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) yang terbengkalai sejak pentadbiran Barisan Nasional (BN) akan diselesaikan selewat-lewatnya penghujung tahun ini.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, penyelesaian itu termasuk soal pemilikan hartanah berkenaan.
Bagi tujuan itu, katanya, sekurang-kurangnya 5,000 unit rumah PGBF disasarkan siap dibina membabitkan lima tanah rancangan Felda di seluruh negara.
Felda telah memulakan inisiatif untuk mengenal pasti projek terbengkalai rumah generasi baru Felda di seluruh negara.
“Sudah tentu tumpuan kita kepada beberapa negeri yang terdapat kawasan rancangan Felda luas khususnya Pahang, Perak, Johor dan Negeri Sembilan serta beberapa negeri lain.
“Ini usaha peringkat nasional yang hampir 5,000 unit rumah yang akan disiapkan pada tahun ini dengan kos RM250 juta,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perjanjian Persefahaman antara Konsortium PCB-MGB dan Must Ehsan Development Sdn Bhd bagi membangunkan Rumah Idaman Rakyat Selangor di sini hari ini.
Mohamed Azmin juga menyambut baik usaha kerajaan Selangor yang memperuntukkan sehingga 500 unit rumah kepada peneroka Felda di bawah Projek Idaman Cahaya, Encorp Cahaya Alam.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kerana kerajaan negeri telah bersetuju untuk memperuntukkan sebanyak 500 unit rumah di Idaman Cahaya bagi peneroka-peneroka Felda.
“Ini selaras dengan usaha kementerian pada hari ini yang telahpun mendapat peruntukan sebanyak RM250 juta untuk melengkap dan menyiapkan projek-projek perumahan generasi baharu Felda, yang juga terbengkalai sekian lama.
“Saya percaya dengan sumbangan Kerajaan Negeri untuk peruntukan 500 lagi tambahan kepada usaha ini ianya dapat memberikan kelegaan kepada peneroka-peneroka Felda,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamed Azmin turut memuji inisiatif kerajaan negeri yang meneruskan usaha menyelesaikan projek terbengkalai melibatkan sebanyak 203 unit rumah berkembar dua tingkat Idaman Warisan Puncak Alam.
“Usaha bermula 2016 iaitu setahun selepas saya dilantik menjadi menteri besar. Keputusan kolektif dicapai untuk menyelesaikan masalah pembeli yang ditinggalkan pemaju selepas hampir dua dekad.
“Banyak serangan diterima oleh saya dan kerajaan negeri ketika itu namun dengan sikap telus dan terbuka projek diteruskan dan bakal disiapkan sebelum hujung tahun ini,” katanya.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari pula berkata, kerajaan negeri akan menggunapakai skim perumahan diperkenalkan kementerian dalam usaha menyelesaikan isu pemilikan rumah dan pembiayaan.
“Daripada 1,800 unit projek Idaman Cahaya, 500 unit dikhaskan bagi peneroka felda dan 100 unit kepada Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) untuk program Smart Sewa dan Dana-Sel bagi B40.
“Ini adalah inisiatif kerajaan negeri ingin membantu isu perumahan melibatkan peneroka Felda.
“Kita bersedia meneruskan kerjasama dengan anak syarikat Felda pada masa akan datang namun bergantung kepada lokaliti dan kesesuaian tanah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette