Home Nasional Tak adil pihak lain keluar kenyataan – Azmin

Tak adil pihak lain keluar kenyataan – Azmin

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali (tengah) berbual sesuatu dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin (kanan) diiringi Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari (kiri) pada Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Must Ehsan Development SDN BHD Bersama Konsortium PNSB - MGB dan Majlis Idaman Warisan di Bangunan SUK, Shah Alam. foto FAREEZ FADZIL, 18 JUN 2019

SHAH ALAM – Mana-mana pihak yang membuat sebarang kenyataan berhubung penularan video intim mirip seorang menteri hanya akan menjejaskan siasatan pihak polis yang masih berjalan ketika ini.

Menteri Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan tindakan berkenaan adalah tidak adil kepada pihak terbabit khususnya beliau sendiri yang terpalit dengan politik kotor untuk menjejaskan imejnya dalam kerajaan dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Sekiranya ada pihak yang tidak bertanggungjawab membuat kenyataan-kenyataan seperti ini, ianya boleh dilihat sebagai mengganggu proses siasatan

“Dari awal saya yakin ini agenda politik orang-orang tertentu yang bertujuan untuk menyekat kemaraan prestasi saya dalam kerajaan pada hari ini dan dalam politik.

“Saya yakin umum telah melihat siapakah dalang di dalam video itu, biarlah polis melakukan siasatan.

“Saya kira tidak adil sekiranya kita atau individu membuat kenyataan-kenyataan yang boleh dilihat sebagai mengganggu proses siasatan,” katanya pada sidang media di sini.

Beliau mengulas mengenai laporan berita SBS News dari Australia yang memetik kenyataan pakar-pakar video forensik.

Dalam berita yang dikeluarkan semalam, beberapa pakar mendakwa video berkenaan tidak dimanipulasikan.

Artikel berkaitan: Video tidak dimanipulasi – Pakar

Sebelum itu beliau menghadiri Majlis Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Konsortium PCB-MGB dan Must Ehsan Development Sdn Bhd bagi membangunkan Rumah Idaman Rakyat Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Zuraida Kamaruddin dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Pada 11 Jun lalu, beberapa gambar dan video intim mirip menteri itu bersama seorang lelaki, Haziq Abdullah Abdul Aziz disebarkan melalui satu grup WhatsApp diberi nama ‘Jemputan Hari Raya’.

Selain gambar dan video intim, beberapa transaksi wang keluar negara melibatkan Maybank dan Deutsche Bank yang bernilai ratusan ribu dolar Amerika turut disebarkan. – MalaysiaGazette