Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor (JBPM), Norazam Khamis berkata, dalam kebakaran di Lorong Haji Yaacob, Jalan Sungai Udang di sini itu, mayat mangsa warga Indonesia dikenali sebagai Sulastri, 48, dan anaknya Wahyu Mohd Asraf, 18, ditemui pasukan penyelamat di dalam bilik air selepas kerja memadam kebakaran selesai dijalankan.
“Melalui siasatan awal, kebakaran dipercayai bermula dari ruang tamu akibat litar pintas, mangsa kemudian berlindung di bilik air selepas cubaan menyelamat diri dari melalui pintu belakang gagal kerana ia berkunci dari luar dan dihalang oleh salah satu dari empat motosikal yang berada di dalam rumah berkenaan.
“Kebakaran yang bermula di ruang tamu juga menyebabkan laluan ke pintu hadapan tidak dilalui mangsa, mayat kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk bedah siasat,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.
Kata Norazam lagi, sebanyak tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Raja, Sri Andalas dan Pelabuhan Klang dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik sahaja panggilan kecemasan diterima pada pukul 6.48 pagi.
“Setibanya di lokasi sembilan minit kemudian kami mendapati empat buah rumah sederet sedang terbakar.
“Bomba berjaya mengawal kebakaran lima minit selepas itu, kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya kira-kira 30 minit kemudian,” katanya.
Norazam berkata terdapat 12 individu mendiami empat rumah yang terlibat dalam kebakaran berkenaan.
Hanya tindakan pantas anggotanya, beliau berkata, bomba berjaya mengelakkan kebakaran dari merebak ke rumah bersebelahan yang dibina menggunakan kayu.
Sementara itu, kakak mangsa, Saminem Setro, 60, berkata kali terakhir dia berjumpa adiknya, Sulastri adalah pada petang semalam.
“Dia memang selalu datang ke rumah saya di Sungai Bertih, Klang selepas habis kerja di sebuah kantin di sini, anak dia pula bekerja sebagai mekanik di bengkel dekat sini,” katanya.
Saminem berkata, dia mengetahui mengenai kejadian berkenaan apabila seseorang menghubunginya pada kira-kira pukul 8 pagi tadi.
“Saya cuba hubungi adik saya sejak pukul 7 pagi tadi lagi tetapi tak dapat, lepas itu dalam pukul 8 pagi ada orang hubungi saya bagi tahu rumah adik saya terbakar dan saya terus datang ke sini,” katanya. – MalaysiaGazette