Home Ekonomi Isu AP: MSM terpaksa fikir keluar produk baharu

Isu AP: MSM terpaksa fikir keluar produk baharu

Pengerusi MSM Malaysia Holdings Berhad, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid (dua kanan) diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM Holdings Berhad, Datuk Khairil Anuar Aziz (dua kiri), Ketua Pegawai Kewangan MSM Malaysia Holdings Berhad, Ab Aziz Ismail (kiri) dan Lembaga Pengarah MSM Malaysia Holdings Berhad, Datuk Haris Fadzilah Hassan (kanan) menunjukkan Laporan Tahunan MSM Malaysia Holdings Berhad ke-8 pada sidang media sempena Mesyuarat Agung Tahunan MSM ke-8 di Menara Felda, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 19 JUN 2019

KUALA LUMPUR- MSM Malaysia Holdings Bhd. (MSM) terpaksa menyemak semula kedudukan mereka di dalam senarai pengeluar gula tapis di pasaran sekiranya isu pengeluaran permit import (AP) berlebihan tidak diselesaikan.

Pengerusinya, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid berkata, syarikat tersebut terpaksa memikirkan lebih banyak pendekatan komersial termasuk mengeluarkan produk-produk pemanis lain.

Antara yang telah dirancang adalah melancarkan pemanis xylitol yang rendah kalori dan indeks glisemik (GI), pra-campuran gula dan gula cecair pada akhir tahun ini atau awal tahun depan.

Ini menurut Azhar, sejajar dengan perubahan gaya hidup rakyat Malaysia yang lebih mementingkan kesihatan dan meminta supaya lebih banyak produk lebih sihat dikeluarkan.

MSM katanya, sedang bekerjasama rapat dengan pasukan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) syarikat induknya, FGV Holdings Bhd. bagi menghasilkan produk-produk berkenaan.

“Sekiranya prestasi MSM terus terjejas akibat isu tersebut, kami mungkin terpaksa menilai semula kedudukan kami dan memikirkan lebih banyak pendekatan komersial.

“Dalam jangka masa panjang, ia mungkin tidak memberi manfaat kepada Malaysia.

“Sejak bertahun-tahun, pengeluar gula tapis tempatan bertindak sebagai penampan di antara pengguna Malaysia dan pasaran gula dunia yang sentiasa turun-naik di mana perubahan tukara asing, harga dan bekalannya sentiasa berubah secara mendadak sehingga membebankan pembeli seperti MSM.

“Kami telah berjaya menyerap perubahan mendadak tersebut dan mengekalkan bekalan kepada pasaran tempatan pada harga yang stabil,” katanya semasa sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan MSM di sini hari ini.

MSM merekodkan penurunan pendapatan sebanyak 12 peratus kepada RM485.62 juta pada suku pertama tahun 2019 berbanding RM549.06 juta pada tempoh sama tahun lepas.

Ia didorong oleh penyusutan nilai ringgit dan pengeluaran AP gula berlebihan oleh Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna.

Tambah Azhar, apa yang lebih membimbangkan apabila kerajaan berhasrat untuk meliberalisasikan pasaran gula tempatan yang mana ia bukan sahaja bakal memberi kesan buruk kepada prestasi kewangan MSM malah menyebabkan pengguna Malaysia terpaksa berhadapan dengan ketidaktentuan harga dan bekalan komoditi berkenaan di pasaran global.

Dengan itu, beliau meminta supaya kerajaan melihat semula tindakan mereka mengeluarkan AP-AP gula tersebut.

Ini kerana ia hanya memberi manfaat kepada sesetengah pihak terutamanya yang hanya memasuki industri ketika bekalan gula dunia berlebihan dan harganya jatuh.

Ia berbeza dengan pemain industri sedia ada seperti MSM dan CSR yang terpaksa melakukan pelaburan besar berikutan mandat yang telah diberikan selama ini iaitu untuk menyediakan penampan kepada industri tersebut.

Menyentuh mengenai kilang baharu di Tanjung Langsat, Johor, Azhar berkata, kilang tersebut baharu mencapai 30 peratus daripada kapasitinya.

Bagaimanapun, mereka tidak mahu terlalu memaksa pengeluaran kerana ia sedang menghampiri proses akhir penstabilan.

Dengan pembukaan kilang tersebut, MSM kini mampu meningkatkan kapasiti pengeluaran sehingga 2.25 juta tan setahun dan sekali gus menjadikannya pemain industri kedua terbesar di Asia Tenggara dan kelapan di dunia.- MalaysiaGazette