Home Nasional Mayat tanpa pakaian ditemui terapung

Mayat tanpa pakaian ditemui terapung

Anggota APMM mengangkat mayat yang ditemui oleh seorang nelayan di Langkawi, semalam. foto APMM

LANGKAWI – Aktiviti seorang nelayan tergendala apabila dia menemukan mayat seseorang dipercayai lelaki terapung pada kedudukan lebih kurang 0.1 batu nautika Tenggara Pulau Bumbum Besar, Langkawi pada jam 5 petang semalam.

Menurut Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Rozali Said, sebuah bot Maritim Malaysia telah digerak ke tempat kejadian sebaik menerima laporan mengenai penemuan mayat tersebut.

“Mayat yang ditemui dalam keadaan tidak berpakaian itu kemudian dibawa ke Jeti Maritim Bukit Malut sebelum diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia untuk siasatan lanjut,” jelasnya.

Rozali memberitahu, sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang aduan daripada orang awam tentang kehilangan ahli keluarga.

Orang ramai yang ada kehilangan ahli keluarga diminta untuk menghubungi Pusat Operasi Maritim Langkawi di talian 04-9662750. – MalaysiaGazette