Home Utama Zuraida akan desak PKR pecat Haziq

Zuraida akan desak PKR pecat Haziq

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin

PUTARAJAYA –  Parti Keadilan Rakyat (PKR) didakwa tidak bijaksana apabila masih gagal mengambil tindakan tegas ke atas Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin berkata, parti seharusnya sudah bertindak tegas dengan memecat bekas Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Industri Utama ituatas perbuatan yang diakui dilakukan sendirinya di khalayak umum.

“Secara prinsipnya tindakan PKR sendiri, saya rasa kurang bijaksana apabila Haziq seorang pelaku yang mengaku tentang kesalahan yang dilakukan secara terbuka, sudah tentunya kelakuan luar tabii itu satu jenayah serius.

“Jadi sepatutnya tindakan pecat harus dibuat ke atas anggota ini kerana dia memalukan parti dan mencemarkan kepimpinan parti juga,” katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan, Pelancaran I-Gadaian aplikasi mobil Pajak Gadai serta Rumah Terbuka Aidilfitri kementerian sebentar tadi.

Tambah beliau, semua pihak yang peka dengan situasi yang melanda PKR pemimpinnya, Datuk Seri Azmin Mohamad Ali ketika ini perlu memberi ruang kepada pihak berkuasa polis menyiasat dan bertindak mengikut lunas undang-undang.

“Jika Azmin dianggap pesalah tetapi beliau menafikan keterlibatan beliau (video semburit), maka kita biarkan kepada polis untuk buat siasatan dan kita tunggu keputusannya.. itu saya rasa lebih bijak.

“Jadi di sini saya lihat kepimpinan Keadilan tidak membuat keputusan agak tidak bijaksana dan insya Allah petang ini saya akan bangkitkan desakan memecat Haziq kepada mesyuarat Biro Politik PKR nanti,” tegasnya.

Beliau juga ditanya sekali lagi sama ada serius membawa soal memecat Haziq ke mesyuarat Biro Politik Parti petang ini, Ahli Parlimen Ampang itu dengan tenang lantas menjawab: “ya, itu yang saya nak bangkitkan dalam parti nanti petang ini”.- MalaysiaGazette