Home Dunia Dr Zakir diarah ke mahkamah India 31 Julai

Dr Zakir diarah ke mahkamah India 31 Julai

Dr.Zakir Naik
Dr. Zakir Naik

KUALA LUMPUR – Mahkamah di India hari ini mengarahkan pendakwah bebas, Dr Zakir Naik tampil ke mahkamah pada 31 Julai depan atau berdepan risiko ditangkap.

Mahkamah Pencegahan Pengubahan Wang Haram (PMLA) dalam satu kenyataan berkata, waran tangkap tanpa jaminan terhadap pendakwah terkenal itu akan dikeluarkan jika beliau gagal hadir di mahkamah, lapor akhbar The Times of India.

Mahkamah mendengar permohonan Direktorat Penguatkuasaan yang memohon satu waran tanpa ikat jamin dikeluarkan terhadap penceramah itu, yang memegang status pemastautin tetap.

India sebelum ini dilapor berkata, negara itu akan terus meminta Zakir dihantar pulang, tetapi Malaysia bertegas tidak menerima sebarang permintaan rasmi.

Putrajaya baru-baru ini berkata, Malaysia berhak menolak permohonan menghantar pulang Zakir kerana percaya beliau tidak akan mendapat keadilan di India.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin berkata, langkah-langkah sewajarnya akan diambil berhubung proses mengekstradisi pendakwah itu kerana ia membabitkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan India.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilapor berkata, Malaysia tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak supaya Zakir dihantar pulang ke India.

Dr Mahathir menegaskan Malaysia mempunyai hak sama ada mahu menghantar pulang atau tidak pendakwah terkenal itu ke negara asalnya selepas New Delhi dilihat begitu terdesak untuk menahan Dr Zakir Naik atas tuduhan pengubahan wang haram di India.

Terdahulu, Mahkamah PMLA mengeluarkan waran tangkap tanpa jaminan terhadap Zakir membabitkan agensi pemeriksaan kewangan kerajaan India (ED).

Sebelum ini, ED mendakwa, Dr Zakir terlibat dalam pengubahan wang haram di India bernilai INR193 crore (RM115 juta). – MalaysiaGazette