Home Ekonomi Harga minyak global melonjak

Harga minyak global melonjak

TOKYO – Harga minyak meningkat 1 peratus dalam dagangan hari ini selepas stok minyak mentah Amerika Syarikat susut dengan jangkaan OPEC dan pengeluar lain akan bersetuju dengan pengurangan bekalan pada pertemuan tidak lama lagi.

Niaga hadapan Brent meningkat sebanyak AS$0.82 kepada AS$62.64 setong pada 0026 GMT, selepas susut 0.5 peratus pada hari Rabu.

Manakala West Texas Intermediate yang susut 0.26 peratus pada sesi sebelumnya, melonjak sebanyak AS$0.79 kepada AS$54.55 setong.

OPEC akan mengadakan mesyuarat pada 1 Julai ini dan diikuti dengan pertemuan bersama sekutu-sekutu OPEV pada keesokan harinya.

Kartel minyak itu bakal membincangkan sama ada mahu melanjutkan perjanjian mengurangkan 1.2 juta tong minyak sehari yang bakal berakhir pada bulan ini atau sebaliknya.

Namun, Menteri Tenaga Emiriah Arab Bersatu membayangkan lanjutan pengurangan minyak itu adalah logik dan munasabah.

“Turun naik harga minyak kemungkinan akan berterusan, tetapi mesyuarat OPEC yang akan datang akan memberi peluang kepada pasaran untuk menyediakan harga yang berpatutan dan akan menawarkan keperluan untuk harga,” kata Stephen Innes, rakan kongsi pengurusan di Vanguard Markets di Bangkok.

Jangkaan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) akan mengurangkan kadar faedah pada mesyuarat tidak lama lagi dan pengesahan perunding perdagangan AS akan bertemu rakan sejawatannya di China sebelum pertemuan antara Presiden Donald Trump dan Presiden Xi Jinping minggu depan juga menyokong pasaran. – MalaysiaGazette