Home Nasional MH17: JIT sengaja mahu burukkan nama baik Rusia

MH17: JIT sengaja mahu burukkan nama baik Rusia

Empat suspek dinamakan sebagai individu yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat MH17. foto Agensi

KUALA LUMPUR – Rusia kesal dengan pertuduhan penglibatan empat suspek yang didakwa menembak jatuh pesawat MH19 milik Malaysia Airlines.

Sekali lagi, Rusia mempertahankan bahawa tuduhan berkenaan tidak berasas sama sekali dan ia dilakukan untuk memburukkannya di mata masyarakat dunia.

Kementerian Hal Ehwal Luar Rusia dalam satu kenyataan berkata, Pasukan Penyiasat Bersama (JTI) tidak menghasilkan satu bukti yang konkrit untuk menyokong dakwaannya itu.

Sebaliknya, JIT terus mengemukakan hujah-hujah yang tidak munasabah, yang mana sebahagian daripadanya berdasarkan sumber-sumber maklumat yang meragukan.

Lebih-lebih lagi apabila JTI menuduh Rusia bekerjasama dalam serangan tersebut.

Sedangkan, data yang diserahkan oleh penyiasat Rusia telah diabaikan dengan sengaja, menurut kenyataan itu.

“Kami secara mutlak menafikan tuduhan sedemikian. Dari hari pertama tragedi itu, Rusia sangat berminat untuk mencari kebenaran dan bersedia membantu siasatan dalam segala hal.

“Rusia secara aktif bekerjasama dengan Belanda dan membentangkan semua maklumat mengenai kemalangan MH17.

“Dalam proses ini, agensi-agensi yang berkaitan di Rusia menjalankan sejumlah besar kerja yang tidak pernah berlaku sebelum ini: daripada mengesahkan maklumat mengenai peralatan ketenteraan Rusia dan menjalankan eksperimen teliti dengan kerjasama Almaz-Antei, menyediakan data radar utama dan dokumen-dokumen yang menunjukkan peluru berpandu yang menembak pesawat Boeing itu adalah milik Ukraine, selain ketepatan analisis pakar bagi membuktikan klip video yang menyokong kesimpulan JIT adalah palsu,” katanya melalui Kedutaan Rusia di Malaysia.

Tambah kementerian itu lagi, Rusia telah mencadangkan untuk bekerjasama dengan JIT sejak dari awal lagi tetapi telah dikecualikan, sekali gus mengurangkan usaha Rusia untuk memainkan peranan sekunder.

Sebaliknya, mereka memasukkan Ukraine sebagai peserta penuh dalam JIT, memberikan peluang kepada negara itu untuk memalsukan bukti dan mengelak sepenuhnya daripada memikul tanggungjawab kerana gagal menutup ruang udaranya.

“Dengan keadaan ini, kita terus mempersoalkan kewajaran tentang kualiti prestasi JIT. Kesemua ini mengesahkan kebimbangan yang kami nyatakan lebih awal mengenai sifat siasatan yang berat sebelah.

“Meskipun begitu Rusia akan terus membantu siasatan supaya kebenaran mengenai nahas MH17 diperoleh dan pesalah sebenar dihukum dengan sewajarnya. – MalaysiaGazette