Home Nasional MH17: Malaysia komited proses siasatan JIT tapi perlu bersandarkan bukti

MH17: Malaysia komited proses siasatan JIT tapi perlu bersandarkan bukti

Serpihan pesawat MH17 yang ditembak jatuh di Donetsk, Ukraine pada tahun 2014.

KUALA LUMPUR – Malaysia komited dengan proses siasatan kemalangan pesawat MH17 yang dilakukan Penyiasat Bersama Antarabangsa (JIT), namun kesimpulan insiden itu perlu berdasarkan bukti dan bukannya politik.

Kementerian Luar berkata, ia bagi memastikan prosesnya telus, boleh dipercayai dan efektif.

“Dalam hubungan ini, kami menggesa semua pihak bekerjasama dengan proses ini bagi membolehkan kebenaran ditemui,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, laporan JIT yang disiarkan secara langsung dari Belanda mengesyaki empat lelaki bertanggungjawab menembak pesawat Boeing, B777 milik Malaysia Airlines itu akan didakwa atas kesalahan membunuh.

Mereka ialah warga Rusia, Igor Girkin, Sergey Dubinsky dan Oleg Pulatov. Seorang lagi warga Ukranie, Leonid Kharchenko.

Pesawat tersebut ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai 2014 ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur yang mana kesemua 298 penumpang terbunuh.

Siasatan Lembaga Keselamatan Belanda dan JIT sebelum ini mendapati pesawat itu ditembak oleh sistem peluru berpandu BUK dari Brigade Anti Pesawat ke-53 Angkatan Tentera Rusia.

Ia dilancarkan dari sebuah padang di Ukraine yang dikuasai puak pemisah Rusia ketika itu. – MalaysiaGazette