Home Ekonomi Pelan Induk ECER 2.0 fokus peningkatan hidup rakyat

Pelan Induk ECER 2.0 fokus peningkatan hidup rakyat

Baidzawi Che Mat berkata, pihaknya telah melaksanakan pelbagai program pembangunan untuk memacu sektor pelancongan menerusi konsep Rainforest to Reef’ (R2R), yang mana semua produk, aset dan pembangunan pelancongan digabungkan bagi menawarkan pengalaman pelancongan yang menyeluruh.

KUALA LUMPUR – Sebanyak enam inisiatif strategik diperkenalkan dalam Pelan Induk ECER 2.0 (2018-2025) yang akan memacu pembangunan sosioekonomi Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dalam usaha untuk merapatkan jurang pembangunan dan
meningkatkan taraf kehidupan rakyat di wilayah ini.

Antara matlamat utama yang digariskan dalam Pelan Induk ECER 2.0 menjelang tahun 2025 termasuk mendapat RM70 bilion pelaburan swasta baharu, menawarkan 120,000 peluang pekerjaan dan 60,000 peluang keusahawanan untuk rakyat

Enam inisiatif strategik itu ialah meningkatkan produktiviti pekerja; mempelbagaikan asas ekonomi; memudahcara ekonomi skala; menggerakkan tenaga kerja; memanfaatkan kesalinghubungan; dan menambahbaik pengupaya seperti jalur lebar ICT.

Di bawah EMP 2.0, penekanan yang lebih besar akan diberikan untuk mempercepat kesediaan ECER untuk Industri 4.0, memandangkan kepentingan platform digital dalam membentuk ekonomi dan memacu inovasi di seluruh dunia.

Baidzawi Che Mat, CEO baharu ECERDC
Baidzawi Che Mat

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Baidzawi Che Mat berkata, ECERDC dengan kerjasama Technische Universitat Munchen (TUM), telah menubuhkan Pusat Kecemerlangan Asia untuk Teknologi Pintar (ACES) di Cybercentre yang terletak di Taman Teknologi Pahang (PTP).

ACES, yang dijangka berkhidmat sebagai hab pembangunan kemahiran untuk rakyat dan perusahan dari Malaysia dan Asia Tenggara, akan melengkapkan kumpulan bakat tempatan serta perniagaan dengan pengetahuan Industri 4.0 bagi meningkatkan
kebolehpasaran dan kecekapan.

Sementara itu, dua projek pencetus perubahan iaitu Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan projek peluasan Pelabuhan Kuantan, di Pahang dijangka akan memudahcara tarikan pelaburan dan meningkatkan mobiliti barangan dan rakyat.

ECRL akan membuka hab pelancongan baharu dan pembangunan berorientasikan transit di sepanjang jajarannya sementara peluasan Pelabuhan Kuantan di Pahang boleh menampung kemasukan kapal-kapal yang lebih besar, sekali gus memperkukuhkan kedudukan ECER sebagai Gerbang ke rantau Asia Pasifik.

Tambahnya, ECER kini juga bersedia untuk menyahut gelombang pertumbuhan dalam aktiviti berkaitan logistik.

Dalam hal ini, ECERDC telah mengenal pasti pemacu utama baharu iaitu “Logistik dan Perkhidmatan” di bawah rangka kerja Pelan Induk ECER 2.0.

“Pemacu utama baharu ini akan meningkatkan daya saing keseluruhan Wilayah ECER dengan mengenal pasti dan menangani isu-isu rantaian bekalan untuk pemacu ekonomi ECER yang sedia ada termasuk Sektor Pembuatan; Minyak, Gas dan Petrokimia; Pelancongan dan Perniagaan Tani.

“Dalam pembangunan modal insan, ECERDC akan terus membangunkan dan menambahbaik program memperkasa ECER, usahawa ECER dan Program Pemerkasaan Graduan ECER (ETEP) bagi meningkatkan lagi penglibatan belia dan wanita di dalam tenaga kerja, serta meningkatkan produktiviti di wilayah ini, disamping membangunkan perusahaan mikro dan kecil menjadi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS),” katanya.

Penekanan juga akan diberikan kepada inisiatif untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan dan membina kumpulan pekerja mahir. Usaha-usaha ini sangat kritikal bagi ECER untuk berubah kepada ekonomi berasaskan produktiviti dan mengelakkan penghijrahan keluar tenaga kerja.

Tambah beliau, sepanjang 10 tahun lalu, transformasi sosioekonomi ECER dapat disaksikan apabila sasaran pelaburan pada tahun 2020 sebanyak RM110 bilion berjaya dicapai tiga tahun lebih awal.

Sehingga kini, jumlah pelaburan swasta di ECER berjumlah RM115.6 bilion, sebanyak 164,500 peluang pekerjaan diwujudkan dan kira-kira 38,000 usahawan telah berjaya dibangunkan.

Pelan Induk ECER 2.0 telah dilancarkan hari ini oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga Pengerusi ECERDC, di Pejabat Perdana Menteri.- MalaysiaGazette