Home Nasional Waytha masuk hospital selepas balik kampung Orang Asli

Waytha masuk hospital selepas balik kampung Orang Asli

Waytha
P. Waytha Moorthy

KUALA LUMPUR – P. Waytha Moorthy dimasukkan ke hospital di sini pagi tadi selepas pulang daripada penempatan Orang Asli di Kelantan.

Akibatnya, Menteri Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional itu tidak hadir ke mesyuarat jemaah menteri hari ini.

Sebelum itu, Waytha Moorthy berada selama dua minggu di kawasan wabak penyakit yang melanda Orang Asli berkenaan.

Menurut laporan FMT, menteri itu juga terpaksa membatalkan semua acara sepanjang minggu ini.

Hospital sedang menjalankan ujian ke atas menteri bagi mencari punca penyakit.

FMT melaporkan Waytha Moorthy mengalami demam panas, selesema, muntah-muntah dan cirit-birit.

Bagaimanapun ia belum dapat dipastikan sama ada ia ada kaitan dengan dakwaan pencemaran air di penempatan Orang Asli Gua Musang di Kampung Kuala Koh.

Difahamkan, Waytha Moorthy berada selama empat hari di kampung berkenaan.

Sebelum itu, seramai 113 penduduk di kampung yang sama terkena demam campak dan tiga orang disahkan meninggal dunia akibat penyakit berkenaan.

Turut dilaporkan seramai 12 lagi Orang Asli di kawasan yang sama meninggal dunia semasa perjalanan dari Taman Negara di Pahang ke Gua Musang akibat pneumonia dan bedah siasat dijalankan bagi menentukan puncanya.- MalaysiaGazette