KUALA LUMPUR – Penyanyi Wan Aishah Wan Ariffin atau Aishah membidas Pencetus Ummah (PU) Merico yang didakwanya memiliki sikap yang terlalu mudah melabel seseorang atau parti tidak digemari dengan gelaran munafik.
Menerusi Facebook miliknya, Aishah turut menempelak Merico yang seolah-olah dia telah pasti akan masuk ke syurga.
“Senang2 label orang munafik,seolah2 dia telah ‘confirm’ masuk syurga…Sudah2lah tunggang agama seolah dia saja yg Islam.Kita semua tak tau bagaimana pengakhiran kita,jgn.perasanlah uolls lebih baik dari org.lain…siapa uolls semua nak mengambil alih hak dan kerja Allah utk menghukum…Who do you think you are?????,” tulisnya ketika berkongsi hantaran Senator Amanah Aiman Athirah Al Jundi: “Siapa Munafik?”
Aishah sebelum ini pernah bergiat bersama Pas sebelum menyertai Parti Amanah Negara.
Penyanyi lagu Janji Manismu itu merujuk kepada sajak dideklamasikan Merico dalam muktamar Pemuda Pas di Kuantan, Pahang kelmarin.
Merico atau nama penuhnya Merico Achenk Abdullah dalam acara selingan Muktamar Pemuda Pas memanjatkan rasa syukur kerana Allah “menapis darah-darah munafik” daripada Pas pada 2015.
Walaupun tidak menyebut secara langsung, darah munafik sudah ditapis yang dimaksudkan Merico dipercayai merujuk kepada bekas anggota Pas yang beramai-ramai keluar parti itu selepas 2015.
Pada masa sama, dalam bacaannya itu, Merico menyifatkan kemenangan PH pada pilihan raya umum ke-14 lalu sebagai “merosak agama”.
Ketika penyajak itu mendeklamasikan sajaknya, layar di kiri dan kanan pentas pula memaparkan beberapa gambar pemimpin Pakatan Harapan (PH). – MalaysiaGazette