Home Nasional Tingkat kualiti pendidikan hadapi Revolusi Pendidikan 4.0

Tingkat kualiti pendidikan hadapi Revolusi Pendidikan 4.0

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik (tengah) melancarkan Penerbitan Digital Buku dan Majalah DBP pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ke 63 diiringi Naib Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Ilani Mohamad Ibrahim (dua kiri) di Wisma DBP, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 21 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan berusaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan sebagai usaha memastikan anak-anak Malaysia sedia menghadapi Revolusi 4.0.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, murid-murid di sekolah perlu dilengkapi ilmu-ilmu yang membuatkan mereka sebagai kalis masa depan.

“Kita akan pastikan anak-anak murid kita akan sedia untuk hadapi Revolusi 4.0.

“Kita ingin ajak semua pihak membantu meningkatkan penguasaan anak-anak kita terhadap ilmu teknologi semasa dan membolehkan mereka untuk berdaya saing di peringkat global dan mereka mempunyai kalis masa depan dan sedia hadapi revolusi 4.0.

“Kita memastikan pendidikan diberikan kepada anak-anak kita berkualiti dan mereka sedia hadapi pasaran global dan cabaran yang begitu hebat pada revolusi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Maszlee berkata demikian ketika ditanya mengenai ura-ura kerajaan akan melaksanakan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dalam sistem pendidikan negara.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Maszlee berkata, Jabatan Pendidikan Johor sentiasa memantau situasi semasa berhubung kejadian pencemaran udara hingga mengakibatkan seramai 15 pelajar di dua buah sekolah di Pasir Gudang, Johor mengalami sesak nafas dalam insiden yang berlaku petang semalam.

Katanya, tindakan akan diambil mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ada dan langkah sewajarnya dilakukan mengikut keperluan. – MalaysiaGazette