TIKRIT, Iraq – Tentera Amerika Syarikat (AS) sedang bersedia untuk mengeluarkan beratus-ratus kakitangan yang bekerja dengan Lockheed Martin Corp dan Sallyport Global dari pangkalan tentera Iraq.
Kakitangan-kakitangan itu bekerja sebagai kontraktor, kata tiga sumber ketenteraan Iraq.
Hampir 400 kontraktor dari kedua-dua syarikat bersiap sedia untuk meninggalkan pangkalan tentera Balad, yang menempatkan tentera AS, kira-kira 80 km (50 batu) di utara Baghdad disebabkan “potemsi ancaman keselamatan.”
Pelepasan mereka semakin hampir dan pada bila-bila masa kata sumber itu.
Namun, mereka tidak memberikan sebarang maklumat mengenai ancaman keselamatan.
Pangkalan Balad diserang dengan tiga peluru mortar minggu lepas. Tiada siapa yang mendakwa bertanggungjawab ke atas serangan itu.
Menurut sumber, pemindahan itu akan mengambil masa kira-kira 10 hari, dalam dua peringkat dan akan dilakukan oleh pesawat tentera.
“Orang Amerika memaklumkan kepada kami bahawa mereka hanya akan mengekalkan kakitangan yang diperlukan dan terhad yang bekerja berkaitan penyelenggaraan pesawat perang F-16 Iraq.
“Lockheed Martin mula menyerahkan F-16 pertama kepada Iraq pada tahun 2014.
Dalam serangan itu, dua pangkalan Iraq yang diduduki tentera AS telah diserang roket pada minggu lalu. Pada hari Rabu lalu pula, berlaku serangan berhampiran tapak yang digunakan oleh syarikat tenaga milik AS, Exxon Mobil berhampiran bandar selatan Basra. – MalaysiaGazette