KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) akan mengambil alih empat lebuh raya yang dikuasai oleh Gamuda Berhad pada 31 Disember ini jika proses pengambilalihan berjalan lancar.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kejayaan tawaran ini adalah tertakluk kepada ketekunan wajar, sokongan pemegang saham dan pemiutang syarikat konsesi yang mencukupi serta kelulusan Jemaah Menteri yang muktamad.
Pengambilalihan 4 lebuhraya bertol ini merupakan langkah pertama untuk mengurangkan beban pengguna lebuh raya dan merealisasikan janji Pakatan Harapan.
Semalam, Gamuda mengesahkan kerajaan menerusi MOF Inc mengemuka tawaran pengambilalihan kepentingan dalam empat pengendali lebuh raya utama membabitkan nilai RM6.2 bilion.
Empat lebuh raya terbabit ialah Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (LITRAK) pada nilai RM2.47 bilion; Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd (SPRINT) (RM1.984 bilion); KESAS Sdn Bhd (RM1,377 bilion) dan Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART) pada nilai RM369 juta.
Guan Eng dalam satu kenyataannya berkata, pengambilalihan ini akan memberi penjimatan sebanyak RM180 juta setahun kepada pengguna, dengan ini pendapatan boleh guna isi rumah rakyat Malaysia akan bertambah dengan jumlah yang sama.
Jelasnya, caj kesesakan adalah caj boleh ubah yang bergantung kepada masa penggunaan dan kerajaan secara prinsipnya akan memberikan diskaun sehingga 30 peratus pada waktu luar puncak dan kadar percuma pada waktu bukan puncak.
Di samping itu, bagi tidak membebankan rakyat, kerajaan akan mengekalkan caj kesesakan maksimum pada waktu puncak pada
kadar tol sedia ada.
Struktur akhir caj kesesakan akan dikaji secara terperinci dan diperhalusi sebelum ia dilaksanakan pada 1 Januari 2020
kelak.
“Di samping itu, pengambilalihan keempat-empat lebuh raya ini akan secara langsung menjimatkan pembayar cukai sekurang-kurangnya RM5.3 bilion dalam bentuk bayaran pampasan kepada syarikat-syarikat konsesi untuk membekukan kadar tol di lebuhraya berkenaan sehingga akhir hayat konsesi.
“Pampasan ini tidak perlu lagi dibayar selepas lebuhraya-lebuhraya ini diambil alih oleh kerajaan. Ini bermaksud bahawa kerajaan akan mampu memperuntukkan perbelanjaan tambahan melebihi RM5.3 bilion untuk membantu rakyat seluruh Malaysia pada tahun-tahun yang akan datang. Ertinya, bukan sahaja pengguna lebuhraya bertol akan menerima penjimatan besar dalam langkah ini, rakyat seluruh negara juga akan menikmati manfaat.
“Fakta-fakta ini dengan secara langsung membuktikan bahawa model konsesi lebuhraya bertol di bawah kerajaan Barisan Nasional hanya menguntungkan pihak konsesi dan tidak mengutamakan rakyat jelata,” ujarnya.
Tambah Guan Eng lagi, pengambilalihan ini tidak membebankan kewangan kerajaan kerana telah membuat nilai tawaran yang
paling wajar supaya ia bukan sahaja dapat memaksimumkan pulangan kepada rakyat.
Pihak SPV akan membiayai harga tawaran sebanyak RM6.2 bilion dengan penerbitan bon.
Katanya, kutipan caj kesesakan mencukupi untuk membiayai bayaran balik hutang, segala kos operasi serta
penyenggaraan lebuhraya tanpa memerlukan peruntukan daripada Kementerian Kewangan.
“Dengan kata lain, kos pengambilalihan tersebut akan dibayar balik dengan sendirinya daripada kutipan caj kesesakan
tanpa melibatkan sebarang perbelanjaan kerajaan,” tambahnya.
Keempat-empat lebuhraya ini menguasai 48 peratus daripada jumlah pendapatan lebuhraya-lebuhraya bertol di bandar, menunjukkan kesungguhan dan komitmen kerajaan dalam langkah pertama memenuhi manifesto pilihan raya.
Menurutnya, sekiranya model pengambilalihan ini berjaya, kerajaan akan terus menjadikannya sebagai asas untuk pengambilalihan konsesi lebuh raya bertol lain, termasuk lebuh raya antara bandar pada masa hadapan.
Tawaran pengambilalihan lebuh raya ini adalah penyelesaian “win-win-win” untuk semua pihak yang terlibat iaitu kerajaan dan pembayar cukai akan jimat RM5.3 bilion dalam bentuk pembayaran pampasan kepada syarikat-syarikat konsesi akibat pembekuan kadar tol dan pengguna lebuhraya akan menikmati penjimatan sehingga RM180 juta setahun dan juga pengurangan kesesakan lalu lintas pada waktu puncak.
Sebarang lebihan kutipan caj kesesakan pula akan disalurkan kepada pembangunan dan penyenggaraan sistem pengangkutan awam Malaysia. – MalaysiaGazette
MoF Inc mahu ambil 4 lebuh raya milik Gamuda pada harga RM6.2b