Home Nasional Minum air berkeladak sebelum ada telaga boring

Minum air berkeladak sebelum ada telaga boring

Penduduk, Nazir Esa menunjukkan kualiti air boring yang keluar dari paip di Kampung Sungai Tias, Kuala Krai, Kelantan. foto SYAFIQ AMBAK, 18 JUN 2019

KUALA KRAI – Penduduk Kampung Sungai Tias, di sini, melahirkan rasa syukur dengan inisiatif Mercy Malaysia dan Maybank Islamic Berhad yang terlibat memberi sumbangan bagi pembinaan telaga tiub atau telaga boring.

Rasa terima kasih mereka tidak terucap apabila melihat telaga tiub itu di depan mata selepas berdekad-dekad lamanya bergantung harap kepada sumber perigi cetek yang terletak 40 kilometer dari pekan Kuala Krai.

Walaupun kedudukan sumber air itu jauh dan seringkali dicemari dengan bangkai bintang, selain sampah sarap namun bagi penduduk terbabit mereka tiada pilihan.

Lebih memilukan apabila tibanya musim kemarau kerana penduduk kampung terpaksa mengharapkan sumber air sungai walaupun terpaksa berhadapan dengan situasi haiwan seperti babi hutan berendam di situ.

Kualiti air pula tidak perlu dikatakan kerana berkeladak dan keruh sepanjang masa.

Penduduk setempat ketika ditemui MalaysiaGazette mengeluh kerana pada mereka tidak banyak dilakukan oleh kerajaan dalam membantu keadaan mereka.

Walaupun menyediakan paip untuk menyalurkan air dari perigi ke rumah tetapi air tidak bertapis dan kurang bersih.

MGF180619_PEMBINAAN TANGKI AIR06
Penduduk, Nazir Esa meninjau tangki air baharu telah disiap dibina dengan kerjasama Maybank dan Persatuan Bantuan Perubatan (Mercy) Malaysia bagi keperluan harian di Kampung Sungai Tias, Kuala Krai, Kelantan. foto SYAFIQ AMBAK, 18 JUN 2019

Penduduk Kg Sg Tias, Mohamad Nazri Abdullah berkata, penderitaan mereka untuk mendapatkan bekalan air bersih tidak dapat diungkapkan lagi.

“Air itu satu keperluan asas manusia, tetapi di sini untuk mendapat air apatah lagi air bersih serta berkualiti adalah sesuatu luar jangkauan. Syukur apabila Mercy Malaysia dan Islamic Maybank mengambil inisiatif membina boring air. Dapatlah kami merasa air bersih,” katanya di sini.

Jika tidak, katanya, walaupun jarak air sungai jauh tetapi kaum ibu dan anak-anak terpaksa ke sana untuk mendapatkan bekalan air.

Ataupun terpaksa membeli air mineral untuk minum dan memasak.

Seorang peniaga, Nazir Esa, 45, juga mengakui kehidupan penduduk di situ sangat sukar sejak berpuluh-puluh tahun kerana ketiadaan bekalan air bersih.

MGF180619_PEMBINAAN TANGKI AIR04

Kualiti dari air gunung (kiri) dan air boring (kanan) di Kampung Sungai Tias, Kuala Krai, Kelantan. foto SYAFIQ AMBAK, 18 JUN 2019
“Beginilah nasib kami selama berpuluh tahun, air dari paip ini selalunya berkeladak dan tidak bersih, pastinya tidak boleh diminum begitu sahaja.

“Dengan adanya air boring ini, lebih senang kerana airnya sudah bersih dan di tapis. Malah bekalan air juga tidak putus pada masa ini,” katanya yang memberitahu telaga boring itu dibina pada awal tahun ini dan digunakan oleh 10 buah keluarga.

MGF180619_PEMBINAAN SURAU06
Penduduk, Nazri Abdullah, 43, bercakap kepada media pada program Membina Masyarakat Berdaya Tahan di Kampung Sungai Tias, Kuala Krai, Kelantan. foto SYAFIQ AMBAK, 18 JUN 2019

Ketua Komunikasi dan Perhubungan Strategik Mercy Malaysia, Chan Li Jin memberitahu, pihaknya hanya sekadar menjadi ‘pembantu’ kepada kerajaan negeri yang ketiadaan sumber kewangan bagi melaksanakan projek-projek seumpama ini.

“Kuala Krai ini sangat besar dan hampir kesemua mereka ini mahukan bekalan air bersih sejak bertahun-tahun lamanya.

“Namun kekangan kewangan pada peringkat kerajaan, malah individu sendiri menyukarkan penduduk  mendapat bekalan air bersih,” katanya.

Mercy Malaysia mendapat sumbangan daripada Maybank Islamic untuk melaksanakan telaga boring, selain kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, telaga boring itu mengambil masa sebulan untuk di bina kerana tiga kali penggerudian dari bawah tanah ke permukaan air gagal dilakukan.

“Dengan adanya air boring ini, lebih senang kerana airnya sudah bersih dan di tapis. Bekalan air juga tidak putus dan kemudahan ini disediakan sekurang-kurang untuk 10 keluarga.

MGF180619_PEMBINAAN TANDAS03
Ketua Komunikasi dan Perhubungan Strategik Mercy Malaysia, Chan Li Jin

Telaga Boring ini merupakan salah satu air alternatif yang banyak digunakan di negeri Kelantan melalui proses pengerudian di panggil boring.

Penggerudian air bawah tanah ke permukaan melalui laluan paip.

Sumber air bawah tanah di sesuatu kawasan itu akan diambil dari lapisan batuan keras granit atau batuan keras lain dan air disedut dari dalam tanah lebih 20 meter atau beratus meter dari permukaan bumi.

Air yang diekstrak dipercaya lebih berkualiti kalau dibandingkan dengan air dari permukaan sungai dan kolam. – MalaysiaGazette