Home Utama Selama 20 tahun sungai jadi ‘tandas’

Selama 20 tahun sungai jadi ‘tandas’

Mariam Abdullah menggunakan tandas yang baru dibina dengan kerjasama Mercy Malaysia di Kampung Bukit Pagar, Kuala Krai, Kelantan. foto SYAFIQ AMBAK, 18 JUN 2019

KUALA KRAI – Bolehkah anda bayangkan bagaimana hidup tanpa kemudahan tandas yang sempurna selama 20 tahun?

Selama tempoh itu, penduduk terpaksa bergantung kepada air sungai, selain kadangkala ‘meminjam’ tandas jiran jika ‘kecemasan’.

Tetapi itulah realiti yang berlaku kepada beberapa penduduk di kawasan pedalaman di Kampung Sungai Pagar, Kuala Krai.

Meskipun perkara itu sukar bagi sesetengah di antara kita, namun bukan kepada penduduk setempat di situ.

Bukan mereka tidak tahu akan kesedaran tentang kebersihan dan penularan penyakit, tetapi kehidupan mereka serba miskin –  boleh diumpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Pada mereka, membina tandas pastinya menelan kos melangkaui pemikiran serta kapasiti diri, lantaran itu adalah lebih mudah  menggunakan tandas orang lain atau sungai berdekatan rumah.

Namun, masalah mereka itu dapat dihidu oleh Mercy Malaysia dan dengan sumbangan Maybank Islamic, keperluan asas itu disediakan kepada penduduk terbabit.

MGF180619_PEMBINAAN TANDAS04
Penduduk, Mariam Abdullah, 47, bercakap selepas pembinaan tandas yang baru dengan kerjasama Persatuan Bantuan Perubatan (Mercy) Malaysia di Kampung Bukit Pagar, Kuala Krai, Kelantan. foto SYAFIQ AMBAK, 18 JUN 2019

Seorang penduduk Kampung Bukit Pagar, Mariam Abdullah, 47,  melahirkan rasa sayu kerana terpaksa meminjam tandas beberapa penduduk sekitar jika keadaan ‘terdesak’ selama lebih 17 tahun.

Ibu kepada seorang anak perempuan itu memberitahu, suaminya hanya seorang penoreh getah dengan gaji harian tidak sampai RM700 sebulan menyebabkan tidak mampu fikir untuk mempunyai tandas sendiri.

“Kami bukan orang senang, dari dulu sampai sekarang, hanya tahun lepas impian untuk ada tandas itu menjadi kenyataan melalui Mercy Malaysia.

“Sebelum ini hanya guna tandas jiran-jiran yang ada. Lebih 17 tahun seperti itu sehingga tidak fikir untuk mempunyai tandas sendiri.

“Selalunya guna sungai sahaja, kalau terdesak sangat baru guna  tandas jiran, selalunya untuk mandi. Jika mahu membuang, kami guna sungai sahaja.

“Kehidupan kami juga sangat susah. Suami hanya penoreh getah, saya duduk rumah jaga anak. Tidak boleh bekerja. Apabila gaji kecil sahaja, kami tidak mampu fikir besar-besar.

“Air juga tidak bersih, tapi apa yang kami mampu lakukan. Tidak mampu, bukan kami mahu hidup seperti ini tetapi ini sahaja kami boleh lakukan untuk terus hidup,” katanya sayu.

MGF180619_PEMBINAAN TANDAS07 (1)
Penduduk, Mariam Abdullah, 47, mengemas barangan dapur di Kampung Bukit Pagar, Kuala Krai, Kelantan. foto SYAFIQ AMBAK, 18 JUN 2019

Mercy Malaysia melalui dana daripada Maybank Islamic telah telah melaksanakan beberapa projek kesihatan, air, sanitasi dan kebersihan (WASH) serta projek pembinaan seperti tandas ini.

Sepanjang tahun lepas dan tahun ini sahaja sebanyak tujuh buah rumah sekitar Kuala Krai telah mula menikmati kemudahan seperti tandas, selain kerja-kerja baik pulih dengan peruntukan sebanyak RM70,000.

Jumlah keseluruhan yang disumbangkan oleh Maybank Islamic adalah sebanyak RM500,000 untuk program WASH bagi seluruh Kuala Krai.

Jelas Mariam lagi, Mercy Malaysia dan Maybank Islamic berjasa besar dalam memastikan mereka mempunyai kemudahan tandas sendiri, yang pastinya tidak mampu dimiliki jika terpaksa mengeluarkan kos daripada poket sendiri.

“Rasa syukur sangat dan Allah sahaja dapat balas jasa mereka sebenarnya. Mereka juga mengajar kami tentang kepentingan kebersihan diri dan persekitaran juga untuk kebaikan semua,” ujarnya.

MGF180619_PEMBINAAN TANDAS09
Penduduk, Norashikin Yaso, 36, bersama tandas yang baru dibina dengan kerjasama Persatuan Bantuan Perubatan (Mercy) Malaysia di Kampung Bukit Pagar, Kuala Krai, Kelantan. foto SYAFIQ AMBAK, 18 JUN 2019

Dalam pada itu, menurut Norasyikin Yaso, 36, yang mempunyai 6 orang anak berumur antara 15 hingga 4 tahun itu juga mengakui kedaifan hidupnya menyebabkan tidak pernah terfikir untuk ada tandas sendiri.

Jelas Norasyikin, sejak mula duduk di Kg Bukit Pagar  lapan tahun lepas, dirinya tidak pernah ada tandas sendiri.

Selalunya dia dan keluarga menggunakan tandas di rumah mak mertua atau sungai berdekatan.

“Apa boleh buat? Kami memang tidak mampu ada tandas sendiri. Susah lagi-lagi waktu malam, tidak boleh ketuk rumah orang yang sedang tidur, jadi kenalah guna sungai. Tidak ada lampu, gelap dan pastinya ada binatang atau reptilia berbahaya.

“Tetapi inilah kehidupan kami, hidup kami sememangnya susah lagi-lagi kini suami saya sakit tenat, kanser darah tahap empat sudah lebih sebulan di hospital,” katanya yang terpaksa menoreh gerah untuk menyara kehidupan.

Norasyikin berkata, dengan pendapat menoreh sebanyak RM700 sebulan dan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM400,  wang itu digunakan untuk menampung perbelanjaan keluarga dan anak-anak yang sedang belajar lagi.

“Memang sudah kehidupan ini, saya tidak boleh terus mengadu tetapi cari jalan dan redha sahaja tetapi syukur sangat apabila mendapat bantuan seperti ini,” jelasnya.

Norasyikin juga memberitahu,  selain ketiadaan tandas selama bertahun-tahun, dia juga mengalami kesukaran kerana terpaksa menempuh perjalanan jauh ke Hospital Kuala Krai kerana tiada hospital berhampiran.

“Suami saya memang sudah lama sakit, cuma masa bulan Ramadan sudah terlalu tenat dan terpaksa dikejarkan ke hospital, sebelum itu kami tidak pernah pergi kerana tiada kemudahan pengangkutan dan hospital sangat jauh. Selama ini dia bertahan sahaja,” ujarnya sambil menangis.

Selain daripada masalah hospital, penduduk setempat ini juga mempunyai tidak mempunyai sekolah menengah berdekatan.

Paling dekat adalah sejauh 36 kilometer sehingga menyebabkan ada segelintir terpaksa menghantar anak-anak ke sekolah berasrama penuh.

MGF180619_PEMBINAAN TANDAS02
Timbalan Program Perkembangan Mercy Malaysia, Visan Chan bercakap di Kampung Bukit Pagar, Kuala Krai, Kelantan. foto SYAFIQ AMBAK, 18 JUN 2019

Sementara itu, Naib Ketua Bahagian Pembangunan Program, Visan Chan berkata, pihaknya sedang dalam perancangan untuk melebarkan program WASH dengan menambah peruntukan tahun lepas yang hanya RM30,000 kepada RM40,000 tahun ini.

“Bukan sahaja kita tambah keluarga yang boleh dapat manfaat melalui program WASH ini, sebaliknya tambah peruntukan yang disediakan oleh Maybank Islamic.

“Kali ini juga kita akan bina tandas dengan dua buah pintu berbanding sebelum ini hanya satu, ini  membolehkan lebih ramai dalam keluarga boleh gunakannya,” katanya. –MalaysiaGazette