PUTRAJAYA – Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini memberi keterangan selama tujuh jam kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu urus niaga ‘land swap’ membabitkan tanah-tanah milik kementerian itu.
Beliau yang tiba pukul 11 pagi tadi dan keluar daripada ibu pejabat Suruhanjaya itu pada pukul 6.00 petang ketika ditemui pemberita berkata, beliau berpuas hati dengan profesionalisma yang ditunjukkan SPRM ketika memberi keterangan dan akan memberi kerjasama sepenuhnya untuk membantu siasatan.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan semua pihak supaya siasatan dan pendakwaan berhubung isu urus niaga ‘land swap’ itu tidak seharusnya dilakukan secara terpilih.
“Jika hendak bercakap soal ‘land swap’, pastikan juga soal 16 lagi ‘land swap’ lain dibangkitkan. Jika bercakap mengenai prosedur, kena tengok juga apa prosedur yang digunakan sebelum ini semasa di bawah pentadbiran sebelum ini, sama ada oleh Perdana Menteri sebelum ini, atau Menteri Pertahanan sebelum ini,” katanya.
“Kalau perlu untuk bangkit apa-apa perkara, saya tidak teragak-agak untuk membantu kerana kita mahukan kebenaran. Mari kita siasat sedalam-dalamnya perkara ini,” tambahnya yang turut berharap agar siasatan seterusnya dijalankan tidak memilih bulu kerana apa yang diharapkan adalah keadilan.
Ditanya sekiranya 16 land swap yang menjadi diperkatakan itu berlaku semasa beliau menjawat jawatan Menteri Pertahanan, Hishammuddin berkata: “… saya dipanggil untuk beri keterangan mengenai land swap di Paloh, yang selainnya mungkin mereka perlu panggil lain-lain menteri terbabit juga, apa yang istimewa mengenai kes yang membabitkan saya ini”.
Hishammuddin berkata, apa yang dilakukannya berhubung land swap itu adalah demi kebajikan anggota tentera dan keluarga mereka.
“Kalau tidak – dari mana nak dapatkan wang untuk bina kem-kem mereka. Kalau dia orang nak pandai cakap, nak tuduh, dia orang seharusnya beri saya cadangan, apa yang boleh dibuat untuk kebajikan para anggota tentera dan keluarga mereka,” katanya.
Februari lepas, sebuah akhbar melaporkan Kementerian Pertahanan mendedahkan kerajaan rugi lebih RM500 juta bagi urus niaga ‘land swap’ membabitkan tanah milik kementerian itu yang dipercayai berlaku sejak 1997.
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dilaporkan berkata perkara itu terdedah hasil siasatan dibentangkan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan Tan Sri Ambrin Buang pada 28 Januari lepas.
Semua kerugian dan ketirisan itu dilapor membabitkan 16 projek ‘land swap’ yang terdiri daripada 1,183 hektar tanah milik Kementerian Pertahanan dengan nilai RM4.7 bilion dan kos projek RM4.8 bilion.
Mengenai kes pembelian enam helikopter bernilai lebih RM300 juta oleh Kementerian Pertahanan pada 2015, Hishammuddin berkata, perkara itu tidak dibangkitkan oleh SPRM hari ini.
“Saya sudah jawab mengenai kes helikopter, saya tiada apa yang nak disembunyikan. Apa yang salah – tetap salah, dan sekiranya ia membabitkan pegawai saya sebelum ini, saya tak sekat (siasatan),” katanya.
Pada 13 Jun lepas, Kementerian Pertahanan membuat laporan kepada SPRM berhubung pembelian enam helikopter bernilai lebih RM300 juta pada 2015 yang masih belum diterima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sehingga kini.
Menurut laporan media, helikopter tempur ringan MD530G keluaran syarikat Amerika Syarikat (AS), McDonnel Douglas itu sepatutnya diterima dalam dua fasa iaitu dua buah pada Julai 2017 dan selebihnya pada Disember 2018. – Bernama