KUALA LUMPUR – Satu kajian khusus perlu dilakukan sebelum rancangan untuk memindahkan penempatan setinggan di Bukit Malut, Langkawi dapat dilaksanakan.
Menurut Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, usaha untuk memindahkan penduduk setinggan di kampung tersebut juga perlu mengambil kira sensitiviti penduduk tempatan.
“Ini masalah setinggan dari luar. Tidak mudah untuk kita menangani perkara seperti ini.
“Apa yang boleh kita buat? Kita boleh musnahkan semua rumah tetapi ada orang (tinggal) di situ.
“Maka mereka kena pindah dan (kena) letak mereka duduk di satu tempat yang sempurna.
“Mereka orang bekerja dan mempunyai pendapatan yang cukup untuk menyara hidup.
“Ia berlaku di mana-mana tempat pun sebab setinggan (didiami oleh golongan) berpendapatan rendah. Sebab itu mereka tidak hidup sempurna.
“Kalau hendak dipindahkan, ia membabitkan duit. Duit kitalah, kita belum buat kajian untuk pindah.
“Kena buat kajian kemungkinan kalau hendak pindah tetapi hendak pindah ke mana?
“Dulu kita pernah pindahkan sekali. Kita bagi mereka rumah tetap orang Langkawi cakap, pendapatan dapat rumah, kami dapat apa? Itu kena jaga juga,” katanya semasa sidang media selepas merasmikan Persidangan Minyak dan Gas Asia 2019 di sini hari ini.
Semalam, sebuah akhbar berbahasa Melayu melaporkan penempatan yang merangkumi beberapa kampung kecil itu dianggap tempat paling hitam di pulau peranginan iitu berikutan laporan kes jenayah serta berkaitan dadah yang kerap berlaku.
Ia penempatan haram yang dibina penghuninya secara menceroboh tanah rizab hutan paya bakau Bukit Malut, yang terletak kira-kira 20 kilometer dari pekan Kuah.
Ketika ini, dianggarkan ada lebih 800 kediaman dibina di kawasan itu dengan jumlah penghuninya dianggarkan antara 5,000 hingga 8,000 orang menetap secara kekal.
Difahamkan, penempatan ini mula dibuka sejak awal 1980-an oleh pelarian Myanmar, yang membina rumah di kawasan pesisir laut sebelum berkembang sehingga ke kawasan berbukit.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi ketika ditanya mengenai masalah penyeludupan dadah ke pulau peranginan itu berkata, kedudukan pulau lagenda itu menjadi punca kepada kesukaran penguatkuasaan dijalankan.
“Langkawi adalah sebuah pulau dan tempat semua orang boleh sampai ke pantai.
“Tidak semua polis dan penguatkuasa agensi lain boleh sampai.
“Pulau sebegitu besar, kemungkinan dadah akan masuk bukan melalui pintu biasa tetapi (boleh menggunakan) mana-mana (jalan) sahaja.
“Ini perlu pasukan tentera yang besar untuk jaga seluruh pantai di Langkawi,” katanya. – MalaysiaGazette