Home Politik Penghapusan sekolah vernakular galakkan pembinaan bangsa Malaysia sebenar – G3

Penghapusan sekolah vernakular galakkan pembinaan bangsa Malaysia sebenar – G3

Amran Ahmad
Amran Ahmad. foto AFFAN FAUZI, 07 MEI 2018

KUALA LUMPUR – Gagasan Tiga (G3) mengambil pendirian untuk menyokong saranan Pas menghapuskan sekolah vernakular dalam muktamar parti itu baru-baru ini.

Pendirian untuk menghapuskan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) itu diambil kerana kewujudan sekolah tersebut tidak sejajar dengan roh dan semangat Perlembagaan Persekutuan.

Timbalan Pengerusi G3, Amran Ahmad Nor berkata, kedua-dua sekolah tersebut menyebabkan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa diasingkan mengikut kaum terutama dalam soal pendidikan dan pembinaan jati diri secara terus menerus sejak 60 tahun.

Selain itu, katanya, sekolah vernakular juga tidak memupuk perpaduan antara kaum dan tidak menyemai semangat tolak-ansur seperti mana yang termaktub dalam Rukun Negara.

“Ini terbukti benar apabila ramai di kalangan bangsa DAP yang berpendidikan awal di SJKC dan SJKT tidak memahami apatah lagi mengenali adat resam pelbagai kaum di negara ini terutama Melayu sehingga pimpinan mereka sering mengeluarkan kenyataan dan arahan yang tidak langsung menjaga sensitiviti orang Melayu sampai menuduh Melayu sebagai pendatang.

“Ia juga sejajar dengan pengalaman saya bersama DAP sebelum ini yang terkejut apabila masih ada ahli DAP yang tidak mengenali lagenda seni hiburan negara atau ratu jazz bernama Sheila Majid kerana sejak kecil lagi menerima pendidikan di SJKC peringkat rendah dan menengah sebelum melanjutkan pengajian di Taiwan dan apabila pulang dari luar negara, bekerja pula dengan DAP yang menggalakkannya menjadi rasis lagi cauvinis,” katanya dalam kenyataan.

Pada muktamar Pas yang lalu, parti itu menerusi wakil Dewan Muslimatnya, Salamiah Md. Nor dilaporkan berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) didesak untuk menghapuskan sistem pendidikan vernakular di negara ini kerana dasar berkenaan tidak menyumbang kepada perpaduan kaum.

Menurut Amran, penghapusan sekolah vernakular akan menggalakkan pembinaan bangsa Malaysia yang sebenar dengan agihan peruntukan persekolahan yang lebih adil untuk semua kaum dan ia bermula di peringkat sekolah rendah dan menengah. – MalaysiaGazette