Home Seni Hidup Sajat pernah sergah peniaga jual produknya yang diciplak

Sajat pernah sergah peniaga jual produknya yang diciplak

Muhammad Sajjad atau Nur Sajat mendakwa produknya diciplak semasa sidang media di Kuala Lumpur pada 25 Jun lalu. -pix ihsan Kosmo!

KUALA LUMPUR – Usahawan kosmetik, Nur Sajat pernah menyergah seorang peniaga bazar di Singapura kerana menjual produknya yang diciplak.

“Ketika itu saya sedang lalu di situ dan ternampak produk saya yang diciplak. Saya terus bertanya kepada dia dan dia meminta maaf lalu membuang barangan tersebut kerana mendakwa dia tidak tahu apa-apa,” dakwanya.

Nur Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruzzaman, 34, menceritakan kejadian itu kerana mendakwa tiga produknya diciplak oleh pihak tertentu sehingga beliau mengalami kerugian sejak kebelakangan ini.

Malah menurutnya, produk Let’s Bengkung Diamond Gold keluaran syarikatnya dan satu lagi produk yang sudah tidak lagi dikeluarkan masih dijual oleh peniaga barangan tiruan.

“Produk tulen dijual pada harga RM130.90 manakala yang tiruan dijual antara RM30 hingga RM90 dan kebanyakan produk saya dijual di bazar, laman sosial dan platform e-dagang terkenal seperti Shopee dan Lazada.

“Saya dimaklumkan, pembeli yang memakai produk tiruan akan mengalami kecederaan pada badan mereka kerana besi yang digunakan untuk bengkung tersebut akan terkeluar hingga menyucuk tubuh si pemakai,” dakwanya ketika ditemui di Pejabat Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna di sini hari ini.

Dakwa Nur Sajat, peniaga produk tiruan itu mengambil untung atas angin dengan mengeluarkan kira-kia 15,000 produk setiap bulan.

“Kotak, logo, jahitan, tulisan, tag dan kain yang digunakan amat berbeza dengan yang tulen dan saya menggesa mereka supaya menghentikan perbuatan itu jika tidak mahu berdepan dengan undang-undang.

“Kebanyakan stokis saya adalah ibu tunggal, pelajar dan peniaga online yang terjejas kerana kehilangan 60 hingga 70 peratus daripada pendapatan yang mereka peroleh sebelum ini,” katanya lagi.- MalaysiaGazette