DHAKA – Seorang lelaki sanggup tangannya dipotong daripada terus mengharungi kesakitan yang amat sangat berikutan penyakit ganjil ‘sindrom manusia pokok’ yang dialami olehnya sejak bertahun-tahun.
Agensi melaporkan, lelaki malang yang dikenali sebagai Abu Banjandar, 28,diserang sindrom itu dengan nama saintifik epidermodysplasia verruciformis sejak awal 2016.
Malah Abu sudah melakukan lebih 25 pembedahan kecil dan besar bagi membuang ketumbuhan seperti pokok pada tangan namun ia tetap kembali tumbuh selang beberapa lama.
Apa yang lebih memilukan bapa kepada seorang anak itu, hampir setiap malam beliau meraung kerana tidak tahan sakit akibat ketumbuhan ganjil yang juga hanya berlaku kepada seorang dalam sejuta orang.
“Saya telah minta doktor yang merawat saya untuk memotong sahaja kedua-dua tangan ini, supaya saya tidak perlu lagi melalui kesakitan seperti ini lagi.
“Saya sudah tidak tahan lagi malah ibu saya sendiri setuju tangan saya di potong, sudah tidak sanggup lagi, lebih baik tidak ada tangan daripada tanggung azab ini,” katanya.
Sebelum ini, Abu dikatakan telah melarikan diri ketika menerima rawatan pada awal Januari lalu sebelum kembali ke hospital selepas masalah yang dihadapinya menjadi lebih rumit.
Menurut ketua pakar bedah plastik di Hospital Kolej Perubatan Dhaka, Samanta Lal Sen, panel yang terdiri daripada tujuh doktor akan membincangkan keadaan lelaki malang itu sebelum membuat keputusan.
“Sebelum ini, memang Abu telah berjaya melawan penyakit ini namun selepas pembedahan nampaknya ketumbuhan ini jadi lebih dasyat dengan ia tumbuh meliar selain lebih tebal, sakitnya juga bertambah,” ujarnya.
Hospital itu pernah merawat kes sama pada 2017 yang mana seorang gadis berjaya dipulihkan melalui pembedahan namun isu yang dihadapi Abu lebih rumit berbanding sebelum ini.
Laporan media menyatakan seorang lelaki di Indonesia yang menderita penyakit sindrom pokok manusia itu sembuh melalui pembedahan plastik di Amerika Syarikat (AS) pada 2008, namun meninggal dunia selepas menghadapi komplikasi. –MalaysiaGazette