
LONDON – Pemain pertahanan antarabanga England B-21, Aaron Wan-Bissaka semakin hampir menjadi pemain kedua yang dibawa masuk pengurus Ole Gunnar Solskjaer selepas kehadiran Daniel James.
Wan-Bissaka, 21, dijadualkan menjalani pemeriksaan kesihatan bersama Manchester United pada minggu ini untuk melengkapkan perpindahan bernilai £55 juta pada minggu ini.
Goal melaporkan bek kanan itu akan tiba di Pusat Latihan Carrington sejurus sahaja tamat tugasan bersama England di kejohanan Euro B-21 di Itali.
Skuad kendalian The Three Lions sudah pun tersingkir daripada kejohanan tersebut.
Wan-Bissaka adalah antara pemain yang disasarkan United di jendela perpindahan pada kali ini dan bidaan pertama bernilai sekitar £40 juta oleh United dilaporkan telah ditolak Crystal Palace.
Kelabnya dijangka memberi tekanan untuk United membayar sehingga £60 juta termasuk pelbagai jenis bayaran tambahan lain sebelum Palace boleh diyakinkan untuk melepaskan beliau ke Old Trafford.
Wan-Bissaka masih memiliki kontrak selama tiga tahun bersama Palace.
Musim lalu dia beraksi dalam 35 perlawanan dan memenangi anugerah pemain terbaik kelab itu. – MalaysiaGazette