Home Nasional Abd Rahim ketuai Pasukan Petugas Khas kes Amri, paderi Raymond

Abd Rahim ketuai Pasukan Petugas Khas kes Amri, paderi Raymond

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersalaman dengan Pengerusi Pasukan Petugas Khas (PPK), Datuk Abd Rahim Uda (tiga kanan) sambil diperhatikan petugas khas yang lain pada majlis pelantikan pasukan tersebut mengenai laporan pendengaran siasatan awam Suhakam mengenai kes kehilangan Pastor Raymond Koh dan Amri Che Mat di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 26 JUN 2019.

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri hari ini mengumumkan pelantikan enam ahli Pasukan Petugas Khas (PKK) bagi menyiasatkan kes kehilangan dua aktivis sosial, Amri Che Mat dan paderi Raymond Koh.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PPK itu diketuai bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abd. Rahim yang diberi tempoh selama enam bulan sebelum laporan akhir siasatan dikeluarkan.

Beliau berkata, siasatan akan dimulakan dahulu dengan kes Amri manakala kes Raymond akan menunggu perbicaraan selesai di mahkamah membabitkan seorang tertuduh bagi mengelakkan berat sebelah.

“Dengan adanya PPK ini, diharap keadilan dapat diberikan kepada semua pihak yang berkaitan.

“Saya harap laporan siasatan akan siap lebih awal atau dalam tempoh enam bulan untuk saya bentangkan kepada Kabinet selepas itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Lantikan Taskforce Laporan Siasatan Kehilangan Pastor Raymond Koh dan Amri Che Mat di kementeriannya di sini.

Selain Abd. Rahim, PPK dibarisi bekas Ketua Bahagian Perundangan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Mokhtar Mohd. Noor, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard PDRM, Datuk Zamri Yahya serta Pengarah Bahagian Operasi, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan, Datuk Muhammad Bukhari Ab. Hamid.

MGF26062019_MUHYIDDIN LANTIK PPK10
Abd Rahim Uda

Ahli lain adalah Pegawai Undang-Undang, Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara dan Setiausaha Bahagian, Suruhanjaya Polis, Mohd. Russaini Idrus sebagai Setiausaha PPK.

Mengulas lanjut, Muhyiddin memberitahu kriteria pemilihan ahli PPK dengan mengambil kira badan bebas yang tidak berpengaruh dalam membuat siasatan.

Jelas beliau, pada masa sama, pihaknya tidak mahu PPK dianggap petugas khas yang diwakili polis yang menyiasat agensi sama.

“Sebab itu kita ambil masa untuk pilih ahli dan tubuh PPK,” katanya.

Ditanya mengapa ditubuhkan PPK dan bukan Surahanjaya Diraja, Muhyiddin berkata ini, kerana laporan pendengaran siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mengenai kehilangan kedua-dua aktivitis membabitkan Cawangan Khas PDRM.

April lalu, Suhakam mendedahkan laporan pendengaran siasatan awam kehilangan Amri dan Pastor Raymond mempunyai kaitan dengan Cawangan Khas berdasarkan inkuiri yang bermula pada Oktober 2017.

Pastor Raymond diculik ketika memandu oleh sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan SS4B/10, kurang 100 meter dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya pada 13 Februari 2017.

Sementara Amri Che Mat, 44, yang merupakan pengasas bersama persatuan kebajikan Perlis Hope hilang sejak 24 November 2016. – MalaysiaGazette