KUALA LUMPUR – Baru-baru ini tular di media sosial insiden pelajar perempuan sekolah menengah dirotan kerana menggelar guru lelakinya pondan.
Ianya mencetus pelbagai reaksi dan tidak ketinggalan memberikan respon adalah pelakon yang terkenal dengan pemegang karakter ‘Ustaz Hamadi’, Azhan Rani.
Pelakon Nur 2 itu memberikan beberapa cadangan kepada ibu bapa yang cepat melatah apabila anak dirotan di sekolah.
Katanya, ibu- bapa boleh memilih sama ada membungkus anak dengan plastik gelembung dan menandakan fragile (mudah pecah).
Beliau juga sempat menyindir dengan menyarankan agar ibu bapa tidak lagi menghantar anak ke sekolah sebaliknya hanya ke spa jika mahu mereka dimanjakan bukannya diajar oleh cikgu.
“Simpan je anak kau dalam peti ais kalau tak nak dia calar-balar langsung. Balut anak kau tu dalam plastic bubble pastu letak sticker fragile kat dahi anak kau.
“Buka sekolah sendiri, kau jadi cikgu, kaulah pengetua dia. Stop hantar anak kat sekolah. Hantar dia ke spa yang boleh manjakan seluruh tubuh dia lima kali seminggu,” tulisnya di Instastory hari ini.
Terdahulu, satu rakaman video berdurasi dua minit 28 saat menunjukkan seorang wanita meminta penjelasan daripada seorang guru lelaki ekoran anak perempuannya dirotan.
Dalam rakaman itu guru berkenaan dilihat memberi penjelasan mengenai tindakannya merotan pelajar yang menggelarnya pondan, namun dipertikaikan ibu berkenaan sambil menunjukkan kesan rotan pada tubuh anaknya.-MalaysiaGazette