SEATTLE – Pesawat Boeing, B737 MAX terlibat dalam dua kemalangan baru-baru ini, dengan 157 orang terbunuh dalam insiden membabitkan Ethiopian Airlines pada awal tahun ini manakala seramai 189 maut dalam kemalangan yang melibatkan Lion Air tahun lalu.
Berikutan insiden itu, operasi B737 MAX digantung dan pihak berkuasa penerbangan di seluruh dunia mahu pembuat pesawat itu mengesan kelemahan yang terdapat pada pesawat tersebut
Gambar yang diambil dari udara menunjukkan berpuluh-puluh pesawat diletakkan berhampiran kereta Toyota Prius dan kenderaan utiliti sukan (SUV) di tempat meletak kereta pekerja ketika Boeing berusaha menyelesaikan masalah penggantungan itu.
Beberapa pesawat yang baharu dikeluarkan dari kilang tidak dapat dihantar kepada pelanggan berikutan penggantungan operasi B737 MAX yang dikenakan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) pada pertengahan Mac lalu berikutan dua kemalangan maut itu.
Ketika syarikat itu berusaha untuk mendapatkan pentauliahan semula daripada FAA, pesawat tersebut mencuri perhatian peminat kapal terbang dan ia boleh dilihat pada akaun Twitter dan Instagram yang memaparkan gambar-gambar B737 MAX dipakir dalam skala yang besar.
“Kami menggunakan semua sumber Boeing semasa waktu pegun penghantaran B737 MAX, termasuk kemudahan kami di Puget Sound, San Antonio dan Moses Lake,” kata jurucakap Boeing, Paul Bergman.
Tidak jelas bila B737 MAX boleh beroperasi semula. Banyak syarikat penerbangan telah menyingkirkan pesawat itu daripada jadual penerbangan untuk September dan Oktober ini. – Agensi