Home Nasional Usul wajibkan semua ahli Parlimen isytihar harta tetap dibentang – Tun M

Usul wajibkan semua ahli Parlimen isytihar harta tetap dibentang – Tun M

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap kepada media pada Pelancaran Pameran 10 Tahun Wira-Wira Marvel Studio di Pavilion Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 27 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, usul mewajibkan semua ahli parlimen termasuk dari parti pembangkang mengisytiharkan harta masing-masing tetap akan dibentangkan di Parlimen.

Tanpa menjelaskan butiran lanjut, Dr Mahathir menegaskan, semua ahli parlimen perlu berbuat demikian kerana sesiapa sahaja baik dari pembangkang mahu pun kerajaan boleh menggunakan pengaruh untuk mendapatkan bayaran.

“Sepatutnya semua akan isytihar harta, kerana parti opposition (pembangkang) pun ada pengaruh.

“Jadi kita tak harus guna pengaruh kita untuk dapatkan bayaran? Usul itu tetap akan bawa, sama ada lulus atau tidak itu soal lainlah,” katanya kepada media di perkarangan Pavilion Mall, Bukit Bintang petang tadi.

Terdahulu pemimpin nombor satu negara itu hadir dan melancarkan pameran 10 Tahun peringatan Adiwira Marvel Studios.

Pameran selama tiga bulan sehingga 27 Oktober ini dibuka untuk umum bermula esok pukul 10 pagi hingga 10 malam dengan harga tiket RM48 untuk dewasa dan RM28 untuk kanak-kanak berusia dari 2 hingga 12 tahun.- MalaysiaGazette