Home Ekonomi Angka kemalangan di tapak pembinaan meningkat – CIDB

Angka kemalangan di tapak pembinaan meningkat – CIDB

KUALA LUMPUR – Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mendapati 58 daripada 92 pekerja di tapak pembinaan dan empat daripada 13 sub-kontraktor di sebuah projek perumahan di Putrajaya tidak berdaftar dengan badan tersebut.

Selain itu, 75 daripada 92 pekerja pembinaan tidak mendapat akreditasi dalam kemahirannya.

Ini merupakan hasil siasatan yang dilakukan oleh CIDB di Presint 12, Putrajaya minggu ini.

Menurut Ketua Eksekutifnya, Datuk Ir. Ahmad ‘Asri Abdul Hamid, angka kemalangan di tapak pembinaan semakin meningkat sejak kebelakangan ini membimbangkan badan tersebut.

“Kami sangat bimbang dengan peningkatan kemalangan di tapak pembinaan sejak akhir-akhir ini.

“Dalam tempoh beberapa minggu lalu, terdapat tiga kemalangan besar yang berlaku di tapak-tapak pembinaan yang mana kebanyakkannya boleh dielak sekiranya garis panduan, prosedur dan sistem keselamatan yang betul dilaksanakan.

“Insiden-insiden ini merupakan peringatan serius mengapa para pemain industri perlu memastikan langkah keselamatan dipatuhi,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Ahmad ‘Asri, pekerja pembinaan perlulah mempunyai tauliah dan akreditasi kemahiran bagi memastikan mereka memahami syarat-syarat pekerjaan, keselamatan, kualiti dan produktiviti.

Dalam pada itu, Ahmad ‘Asri berjaya, CIDB sedang menyiasat insiden tanah runtuh di Batu Feringghi, Pulau Pinang dan runtuhan binaan di Wangsa Maju, Kuala Lumpur yang berlaku baru-baru ini di bawah Akta CIDB.

Menurut beliau, dua kejadian tersebut sedang disiasat di bawah Seksyen 34D Akta CIDB yang menyatakan mana-mana kontraktor yang melanggar amanahnya mengikut perenggan 34B(1)(c) dan menyebabkan kematian boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Kejadian bangunan runtuh yang menyebabkan empat pekerja Myanmar cedera Di Wangsa Maju bagaimanapun disiasat di bawah Seksyen 34C kerana kegagalan kontraktor mematuhi peraturan.

Jika sabit kesalahan, CIDB boleh membatalkan lesen kontraktor dan tidak lagi dibenarkan untuk menyertai mana-mana projek pada masa depan.

Beliau turut menggesa semua pemain industri untuk meningkatkan tahap keselamatan di tapak pembinaan.-MalaysiaGazette